• Bahasa Kebangsaan Tulang Belakang Sistem Kerajaan – Awang Tengah

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+

    LAWAS: Bahasa kebangsaan menjadi tulang belakang kepada sistem kerajaan sebagai bahasa pentadbiran, pengetahuan, perdagangan dan komunikasi negara kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

    Beliau menggalakan rakyat di negeri ini perlu menguasai lebih banyak bahasa sebagai sumber kekuatan untuk menyelaraskan perubahan yang tidak dapat dielak dalam persekitaran global sekarang.

    Memetik laporan Utusan Borneo, menurut Awang Tengah, bahasa kebangsaan perlu terus diperkukuhkan dan berkembang sejak negara mencapai kemerdekaan enam dekad yang lalu dan pembentukan Malaysia.

    Tambahnya, masyarakat dari negara barat belajar bahasa Mandarin di China kerana negara itu telah menjadi pusat ekonomi global.

    “Sejarah menunjukkan bahasa Jepun, Perancis atau Jerman telah dipelajari oleh orang lain kerana negara-negara ini telah menjadi negara maju yang memberi nilai ekonomi kepada bahasa masing-masing,” katanya.

    Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan merangkap Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua Sarawak berkata bahasa Arab, dipelajari oleh ulama dan intelektual bukan Islam yang mencari pengetahuan sains, teknologi, pentadbiran, undang-undang dan bidang intelektual serta pakar lain semasa ketinggian tamadun Islam.

    Beliau memberitahu adalah penting untuk menyokong bahasa kebangsaan tetapi ia mesti berkembang menjadi bahasa dinamik dan relevan di peringkat kebangsaan dan global.

    “Mana-mana bahasa yang kekal statik berisiko menjadi tidak relevan jika ia tidak berubah dengan perubahan dan pembangunan di dunia,” jelasnya. – Sarawakiana

  • No Comment to " Bahasa Kebangsaan Tulang Belakang Sistem Kerajaan – Awang Tengah "