• Bagi Tumpuan Soal Keselamatan Sekolah Tahfiz

    Published: Monday, 9 October 2017
    A- A+


    PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan akan memberi perhatian berhubung tahap keselamatan sekolah-sekolah tahfiz di seluruh negara terlebih dahulu sebelum meneruskan perbincangan mengenai pendaftaran institusi pendidikan berkenaan di bawah kerajaan.

    Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata perkara itu selaras dengan kehendak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk memeriksa sekolah-sekolah tahfiz termasuk menyediakan laporan keselamatan.

    “Buat masa kini, pihak bomba telah memeriksa 932 sekolah tahfiz di negara ini. Selepas kita terima laporan, kemudian kita melakukan penambahbaikan institusi pendidikan tersebut.

    Tidak guna bincang mengenai pendaftaran dan kurikulum sekolah tahfiz, tetapi soal keselamatan masih bermasalah,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (Peers) di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 17 (1) di sini hari ini.

    Perdana Menteri sebelum ini mengarahkan JBPM untuk menjalankan siasatan terhadap semua pusat tahfiz di seluruh negara bagi mengelak kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah daripada berulang.

    Sementara itu, Mahdzir berkata semua pengendali tadika swasta diminta untuk menekankan Peers dalam kurikulum pendidikan prasekolah bagi menyebarluas mengenai aspek penjagaan kesihatan dan keselamatan diri kepada kanak-kanak.

    Katanya Peers merupakan antara usaha kerajaan untuk mendedahkan kanak-kanak berhubung pendidikan reproduktif dan sosial seawal usia empat tahun sejajar komitmen meningkatkan kesedaran tentang implikasi jenayah seksual.

    “Murid prasekolah perlu diberi pengetahuan dan kemahiran berkaitan Peers supaya mereka bersedia menjaga diri sendiri, mengenal pasti aspek sentuhan selamat, tidak selamat dan tidak selesa serta boleh mengambil tindakan yang sesuai apabila berhadapan dengan situasi yang berisiko,” katanya.

    Beliau berkata kementeriannya telah mengatur pelbagai program pendidikan untuk memberi pengetahuan dan penerapan nilai murni bermula dari prasekolah termasuk memperkenalkan Peers sejak 2003 lagi.

    Ketika diminta mengulas mengenai isu Jabatan Pendidikan Pulau Pinang yang menolak permohonan acara “Pulau Pinang dan DAP” susulan acara “UMNO dan Merdeka” di sebuah sekolah di Putrajaya, Mahdzir menganggap permintaan itu sebagai satu provokasi “mengejek” selain tidak mempunyai tujuan yang jelas.

    “Jadi kalau nak buat untuk sengaja nak mengejek tak bolehlah. Kalau nak buat mesti ada tujuan yang khusus,” katanya. -BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Bagi Tumpuan Soal Keselamatan Sekolah Tahfiz "