• Azmin Gagal Paksa Ketua Polis Negara Tangkap Jho Low

    Published: Tuesday, 3 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini untuk memaksa Ketua Polis Negara mencari dan menangkap Jho Low berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Hakim Datuk Hanipah Farikullah yang membuat keputusan itu dalam kamar turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke dan Natrah Idris, manakala Azmin diwakili peguam, Datuk Seri Gopal Sri Ram, R Sivarasa, N Surendran dan Latheefa Koya.

    Hanipah menolak permohonan semakan kehakiman itu selepas mendapati permohonan itu tiada merit.

    Alice ketika ditemui di luar mahkamah, berkata pihaknya mengemukakan bantahan berhubung permohonan itu berdasarkan beberapa alasan termasuk tiada sebarang kenyataan daripada mana-mana agensi penguatkuasa yang membuktikan bahawa Jho Low melakukan kesalahan dalam negara ini.

    Pada 14 Ogos lalu, Ahli Parlimen Gombak selaku pemohon itu menuntut satu perintah mandamus (memaksa) yang mengarahkan responden menangkap dan mengemukakan Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho di hadapan majistret Malaysia untuk menghadapi tuduhan jenayah di bawah Seksyen 409 dan 420 atau sebarang kesalahan lain.

    Azmin mengemukakan alasan bahawa Jho Low telah melakukan kesalahan termasuk pecah amanah dan penipuan kerana menyebabkan syarikat 1MDB mengalami kerugian dan pihak ketiga mendapat keuntungan secara salah.

    Beliau mendakwa Jho Low secara tidak jujur menyebabkan 1MDB percaya bahawa Aabar of Dubai dan Aabar BVI adalah entiti sama yang menyebabkan sejumlah USD1.367 billion dibayar kepada Aabar BVI.

    Azmin juga mendakwa responden mempunyai kesemua maklumat berkenaan dan maklumat lanjut lain yang mengesahkan Jho Low pecah amanah wang 1MDB, namun memilih untuk tidak mengambil sebarang tindakan untuk menangkapnya.

    Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengumumkan Jho Low adalah seorang yang dikehendaki berkaitan kesalahan melibatkan 1MDB.

    Sementara itu, Azmin melalui pasukan peguamnya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan itu.

    Azmin ketika ditemui pemberita berkata, permohonan ini ringkas dan mudah.

    "Tetapi pihak peguam negara seolah-olah membelanya (Jho Low) sedangkan di negara lain dia dikehendaki," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Azmin Gagal Paksa Ketua Polis Negara Tangkap Jho Low "