• Aziz DAP Cadang 3 Penyelesaian Atasi Kesesakan Jalan Matang

    Published: Monday, 2 October 2017
    A- A+

    KUCHING: Pembantu Khas kepada Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Abdul Aziz Isa hari ini tampil dengan tiga cadangan untuk membantu menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas di Jalan Matang.

    Menerusi satu kenyataan di Facebooknya,  beliau berkata masalah kesesakan jalanraya di Matang ternyata masih gagal dicapai meskipun kerajaan telah mensasarkan penyelesaian selama empat tahun sejak 2009.

    “Dengan ini saya mengemukakan tiga perkara yang harus dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah kesesakan jalanraya di Jalan Matang,” katanya

    Berikut merupakan 3 cadangan tersebut;

    1. Membina parit konkrit. Pembinaan parit kontrit dapat menguatkan struktur tanah di bahagian tepi sepanjang Jalan Matang. Ianya juga dapat mengelakkan berlakunya tanah mendap dan banjir. Sebagai contoh sistem perparitan konkrit di Jalan Batu Kawah yang bermula dari simpang lampu isyarat Pasar Sungai Maong sehingga simpang ke Taman Desa Wira. Sudah lebih 20 tahun projek pembinaan parit konkrit siap, Jalan Batu Kawah tidak pernah mengalami masalah tanah mendap waima hari-hari dilalui oleh kenderaan berat. Hal ini kerana sistem peparitan konkrit di sepanjang jalan mampu menguatkan struktur lapisan tanah bawah jalanraya dan mengekalkan permukaan rata jalanraya. Ambil contoh Jalan Matang dan Jalan Stapok, ketiadaan parit konkrit menyebabkan kawasan tersebut tidak rata dan sentiasa dilimpahi banjir setiap kali berlakunya musim hujan. Hal ini menyebabkan pihak kerajaan terpaksa mengeluarkan lebih banyak dana untuk mengupah para kontraktor untuk mengorek parit dan menurap jalanraya sehingga berpuluh-puluh kali dalam setahun.

    2. Membina jalan empat lorong dua hala. Keadaan jalan dua lorong dua hala di Jalan Matang tidak lagi mampu memuatkan jumlah kapasiti kenderaan yang semakin meningkat saban tahun akibat daripada peningkatan jumlah penduduk. Jalan empat lorong dua hala ini dapat menampung peningkatan pesat jumlah trafik dan menyediakan akses aliran trafik yang lebih lancar terutamanya di Jalan Matang. Dengan adanya jalan empat lorong dua hala ini, ianya mampu menampung jumlah kapasiti kenderaan yang pesat dan dapat menyuraikan kesesakan kenderaan di Jalan Matang. Bahkan, ianya juga dapat mengurangkan kemaslahatan ataupun kesulitan penduduk dengan menjimatkan waktu mereka menghantar anak-anak ke sekolah dan pergi ke pejabat.

    3. Menggunakan sistem kawalan lampu isyarat automatik dan dinamik. Dalam keadaan kawasan Matang yang pesat dengan penduduk dan pertambahan kapasiti kenderaan, sudah tiba masanya kerajaan memikirkan alternatif lain bagi menggantikan sistem pelarasan tetapan masa lampu isyarat sedia ada. Kerajaan sepatutnya memperkenalkan sistem kawalan lampu isyarat automatik dan dinamik atau “dynamic and automatic traffic light control system” (DATLCS) untuk menyelesaikan masalah kesesakan jalanraya. Hal ini kerana DATLCS ini mempunyai bacaan identifikasi frekuensi radio (RFID), bantuan digital peribadi (PDA), jaringan tanpa wayar dan pengkalan data. DATLCS ini juga mempunyai model stimulasi yang mampu mengawal aliran lalulintas menggunakan kawalan frekuensi tanpa bergantung dengan sistem tetapan masa yang kurang sesuai untuk situasi di Jalan Matang. Jika Abang Jo mampu pergi ke Estonia dan Jerman untuk mencari ilham membina LRT di Sarawak, kenapa beliau tidak memikirkan penggunaan DATLCS di Sarawak terlebih dahulu?

    Justeru katanya, pemasangan lampu isyarat di hadapan Taman Sri Makmur Matang Batu 6 untuk mengatasi kesesakan lalulintas tidak memberi keberkesanan sebaliknya menyukarkan terutama pada waktu puncak dan memberi kesulitan kepada penduduk di Matang, Malihah dan Sungai Tengah.

    “Saya telah menerima beberapa aduan mengenai ketidakberkesanan lampu isyarat yang terletak di persimpangan kawasan tersebut,” ujarnya. 

    Terdahulu, dalam perkembangan yang sama, Aziz turut menafikan beliau mencela Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazruddin Abdul Rahman dengan perkataan ‘bodoh’.

    "Sejak bila saya kata Fazaruddin sebagai 'Bodo'? Saya kata kenapa bodoh sangat pasang lampu isyarat di Matang Batu 6. Bahasa mudah!," katanya. – Sarawakiana
  • No Comment to " Aziz DAP Cadang 3 Penyelesaian Atasi Kesesakan Jalan Matang "