• ATSB Bentang Laporan Akhir Misteri MH370

    Published: Tuesday, 3 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Selepas lebih 1,000 hari operasi mengesan pesawat MH370 dijalankan selepas dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014 hingga pencarian itu digantung pada 17 Januari lalu, pihak berkuasa akhirnya menyatakan pemahaman mereka mengenai lokasi kemungkinan pesawat itu berada kini lebih baik, berbanding sebelumnya.

    Laporan akhir pencarian MH370 diterbitkan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) hari ini, menyatakan pencarian bawah air termasuk membina semula laluan pesawat serta kajian serpihan dalam tempoh 12 bulan lalu sambil mengetepikan banyak kebarangkalian kawasan, sekali gus mengenal pasti kawasan yang paling mungkin ia berada dengan ketepatan semakin meningkat.

    Analisis semula imejan satelit yang diambil pada 23 Mac 2014 di kawasan berhampiran dengan arka ketujuh, mengenal pasti pelbagai objek yang mungkin serpihan MH370.

    "Analisis ini melengkapkan penemuan Kajian Prinsip Pertama dan mengenal pasti kawasan kurang daripada 25,000 kilometer persegi yang mempunyai kemungkinan tertinggi untuk menemukan MH370," menurut kenyataan itu yang disiarkan dalam laman web ATSB.

    Laporan itu turut menyebut, ketika operasi pencarian bawah air digantung pada Januari lalu, lebih 120,000 kilometer persegi kawasan terbabit dalam operasi berkenaan dan diketepikan dengan tahap keyakinan yang tinggi.

    Secara keseluruhan, 661 kawasan dikenal pasti dalam imejan sonar di dasar laut dan daripada jumlah itu, 82 kawasan diselidiki sebelum disingkirkan daripada kemungkinan ada kaitan dengan MH370. Empat bangkai kapal turut dikenal pasti dalam kawasan yang dicari.

    Laporan akhir itu turut menyatakan punca kehilangan pesawat MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal, tidak dapat ditentukan dengan pasti sehingga pesawat terbabit ditemui.

    Menurut laporan akhir siasatan antarabangsa itu, kehilangan pesawat itu hampir gagal difahami.

    Laporan itu turut menyifatkan kehilangan pesawat yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing tidak sewajarnya berlaku dalam era penerbangan moden dengan 10 juta penumpang menggunakan pesawat komersial setiap hari.

    ATSB menyatakan, pihaknya amat kesal kerana masih gagal menemui pesawat malang terbabit bersama penumpang dan anak kapalnya, walaupun selepas usaha pencarian luar biasa membabitkan beratus anggota profesional daripada pelbagai organisasi di seluruh dunia.

    ATSB turut meluahkan simpati terhadap keluarga serta waris 227 penumpang dan 12 anak kapal, selain menyatakan kesedihan mendalam terhadap tragedi itu.

    Tujuan laporan itu adalah untuk mendokumenkan pencarian MH370, khususnya operasi pencarian bawah air termasuk; di mana pencarian dijalankan (dan mengapa), bagaimana pencarian dijalankan, hasil pencarian dan analisis semasa yang mentakrifkan suatu kawasan di mana sebarang pencarian di bawah air harus dijalankan.

    Laporan itu juga termasuk analisis keselamatan yang memberi tumpuan kepada pencarian berbanding membincangkan pelbagai faktor yang mungkin menyebabkan kehilangan pesawat.

    "Kerajaan Malaysia meneruskan kerja penyiasatan terhadap fakta dan keadaan yang menyelubungi kehilangan pesawat MH370, selaras kewajipan mereka sebagai negara anggota Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO). Siasatan Malaysia sedang dijalankan selaras peruntukan Lampiran 13 ICAO," menurut laporan itu.

    Laporan itu turut menyebut, operasi pencarian dan siasatan kehilangan pesawat Air France AF447 di Lautan Atlantik Selatan pada 2009 dan kehilangan MH370, memberi satu pengajaran iaitu kepentingan menambah baik keperluan dan sistem pengesan pesawat.

    "Langkah sedang diambil bagi meningkatkan sistem pesawat termasuk transponder pengesan kecemasan dan isyarat pengesan perakam penerbangan," katanya laporan itu lagi. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " ATSB Bentang Laporan Akhir Misteri MH370 "