• Atlet Negara Di Kedudukan Enam Teratas Dunia

    Published: Monday, 23 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Seramai 29 atlet negara daripada lapan sukan berbeza yang diserapkan dalam Program Podium ketika ini berada pada kedudukan enam teratas dunia.

    Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata jumlah itu melepasi sasaran awal ditetapkan Program Podium yang menyasarkan hanya 10 atlet pada kedudukan enam teratas dunia, pada bila-bila masa.

    "Semua 29 atlet itu daripada sukan skuasy, basikal, terjun, karate, sepak takraw, silat olahraga, olahraga para dan badminton para.

    "Kami menyasarkan sekurang-kurangnya 16 lagi atlet akan tersenarai berada pada kedudukan enam teratas dunia dalam sukan masing-masing, pada tahun depan.

    "Saya mengucapkan tahniah atas usaha Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan kejayaan ini dan mencadangkan peruntukan bagi kedua-duanya ditambah. Keputusan diketahui pada Jumaat ini," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Anuar Abd Manap (BN-Sekijang) yang mahu tahu jumlah atlet elit berjaya mencapai sasaran ditetapkan menerusi Program Podium.

    Menjawab soalan asal Anuar mengenai program peningkatan atlet pasca Sukan SEA 2017 bagi menghadapi Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun depan, Khairy berkata pihaknya sedang melaksanakan persiapan rapi dalam semua aspek.

    Katanya, ia merangkumi perkhidmatan sokongan sains dan perubatan sukan, kerjasama dengan persatuan sukan dan jurulatih, pendedahan latihan di dalam dan luar negara, penyertaan dalam kejohanan kompetitif di peringkat antarabangsa, bantuan psikologi serta memperkukuh kerjasama dengan semua pemegang taruh. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Atlet Negara Di Kedudukan Enam Teratas Dunia "