• ASUM Akan Cadang Hanya Tarik Pingat Emas Individu Wendy Ng

    Published: Saturday, 28 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) akan memohon kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) agar mempertimbangkan untuk tidak membatalkan kemenangan pingat emas 3m papan anjal seirama yang diraih pada Sukan SEA 2017.

    Presidennya Datuk Seri Shahidan Kassim berkata ia adalah bagi memberi keadilan kepada pasangan Wendy Ng Yan Yee yang didapati positif doping jenis Sibutramine yang pada kebiasaannya terdapat dalam produk pelangsing badan iaitu Nur Dhabitah Sabri.

    “ASUM mencadangkan agar hukuman penarikan balik pingat emas hanya bagi acara 3m papan anjal individu milik Wendy Ng. Ini adalah berdasarkan hasil ujian diambil selepas acara individu dan bagi memberi keadilan kepada Dhabitah,” katanya kepada media di Pusat Akuatik Nasional di Bandar Sukan Kuala Lumpur.

    Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata mengikut prosedur pengendalian keputusan ujian doping, pihak ASUM akan menjalankan siasatan serta proses pendengaran melibatkan Jawatankuasa Siasatan yang bakal ditubuhkan anggota exco ASUM.

    Pihak jawatankuasa akan mengemukakan cadangan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh Wendy Ng berdasarkan kepada hasil siasatan tersebut.

    Mengikut peraturan Agensi Anti Doping Dunia (WADA), hukuman automatik selama dua tahun akan dikenakan ke atas mana-mana individu yang didapati positif ujian doping namun pihak ASUM berhak mempertimbangkan jangka masa yang sesuai bagi hukuman itu.

    Shahidan berkata sebarang keputusan daripada ASUM akan dibawa kepada Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA).

    Mengulas lanjut, beliau tidak menafikan pihaknya terkejut dengan berita ini ekoran Wndy Ng merupakan seorang atlet yang berdisiplin dan bersih daripada sebarang kontroversi.

    “ASUM menyokong keputusan WADA dan Wendy Ng akan digantung daripada sebarang aktiviti sehingga proses pendengaran selesai. Namun beliau akan kembali kepada skuad kebangsaan sebaik sahaja pendengaran dan hukuman selesai,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " ASUM Akan Cadang Hanya Tarik Pingat Emas Individu Wendy Ng "