• Asmara Hotel Bajet

    Published: Friday, 20 October 2017
    A- A+

    NILAI: Hasrat pasangan kekasih memadu asmara terbantut apabila ditahan selepas disyaki berkhalwat di hotel bajet dalam operasi bersepadu di sekitar bandar ini, kelmarin.

    Difahamkan, pasangan masing-masing berusia 19 dan 20 tahun itu ditahan selepas pemeriksaan mendapati mereka berdua-duaan tanpa ikatan sah.

    Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Syamsul Amri Ismail berkata, mereka antara enam pasangan ditahan dalam operasi bermula jam 9 malam itu.

    Beliau berkata, operasi turut disertai Bahagian Penguat Kuasa MPN, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Suruhanhaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai.

    “Lima lagi pasangan ditahan berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun termasuk warga Indonesia. Operasi bertujuan menggempur pusat urut, hotel dan rumah penginapan bagi memastikan pengusaha premis mematuhi garis panduan ditetapkan.

    “Peraturan baru MPN menetapkan tidak boleh dibina bilik dalam premis perniagaan itu, sebaliknya hanya boleh memasang tirai sebagai penutup. Tukang urut pula harus memakai pakaian seragam yang sopan.

    “Pengusaha dikesan tidak mengikut peraturan itu diberi surat amaran dan jika masih melakukan kesalahan sama akan dikenakan kompaun sehingga RM500 mengikut Undang-Undang Kecil Tred UUK24 Perniagaan dan Perindustrian.

    “Mereka yang ditahan diserahkan kepada JHEAINS dan polis untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya di sini, semalam.

    Menurut Shamsul Amri, tiga kompaun dikeluarkan kepada tiga pemilik premis yang didapati melanggar peraturan ditetapkan.

    Menurutnya, operasi membabitkan 25 anggota daripada semua agensi berkenaan.

    Beliau berkata, MPN mengadakan operasi setiap minggu secara bersama dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan berlainan termasuk membanteras judi haram di daerah ini. Ia juga boleh memberi notis kepada pemilik premis berhubung penyalahgunaan premis mereka untuk kegiatan yang melanggar undang-undang.

    Pemeriksaan secara berkala dilakukan pihaknya bagi memastikan pengusaha mematuhi peraturan selain mengekang aktiviti tidak bermoral.

    “Kebanyakan yang diperiksa mempunyai permit, tapi apa yang mengecewakan banyak melanggar syarat lesen dan tidak mengikut peraturan ditetapkan MPN.

    “Misalnya permohonan permit untuk membuka pusat urut refleksologi, tapi apabila diperiksa didapati ada ruangan bilik khas di premis yang sudah tentu boleh mendatangkan curiga.

    “Antara kesalahan lain ialah cermin premis gelap dan pekerja berpakaian mencolok mata,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Asmara Hotel Bajet "