• AS Usir 15 Diplomat Cuba

    Published: Wednesday, 4 October 2017
    A- A+

    WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) hari ini mengarahkan pengusiran 15 diplomat Cuba, menuduh Havana gagal melindungi diplomatnya susulan insiden misteri di mana kakitangan kedutaan itu jatuh sakit.

    Bagaimanapun, Setiausaha Negara Rex Tillerson berkata, AS akan terus mengekalkan hubungan diplomatik dengan Cuba walaupun saiz misi negara itu di Havana akan dikurangkan kepada jumlah minimum.

    "Keputusan dibuat berikutan kegagalan Cuba mengambil langkah wajar melindungi diplomat kami sejajar dengan pematuhan mengikut Konvensyen Vienna.

    "Arahan itu akan memastikan kesamaan dalam operasi diplomatik masing-masing. Sehingga kerajaan Cuba dapat memberi jaminan keselamatan diplomat kami di Cuba, kedutaan kami akan dikurangkan kepada kakitangan kecemasan bagi meminimumkan jumlah diplomat berisiko terdedah kepada bahaya," kata Tillerson dalam satu kenyataan.

    Serangan itu, pada mulanya digambarkan sebagai berpunca daripada sejenis peranti akustik, menjejaskan sekurang-kurangnya 22 kakitangan kedutaan AS di Havana sejak beberapa bulan lalu.

    Mereka yang terbabit dalam insiden itu mengalami gejala fizikal termasuk sakit telinga, hilang pendengaran, pening, sakit kepala, keletihan, isu kognitif dan sukar tidur. -AFP

    Subjects:

  • No Comment to " AS Usir 15 Diplomat Cuba "