• AS Mohon Dana Bantu Mangsa Taufan

    Published: Friday, 6 October 2017
    A- A+


    WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memohon dana bantuan sebanyak AS$29 bilion (RM122 bilion) diluluskan bagi membantu mangsa bencana taufan di Texas, Florida dan Puerto Rico.

    Bantuan berkenaan termasuk AS$12.8 bilion (RM54 bilion) dana baharu bagi membantu mangsa ribut dan AS$16 bilion (RM67 bi­lion) untuk membiayai program insurans banjir di bawah kerajaan AS.

    Selain itu, dana sebanyak AS$576.5 juta (RM2.44 bilion) pula akan digunakan bagi membiayai usaha memadamkan kebakaran hutan di barat negara tersebut.

    Menurut White House, pembiayaan dana tersebut akan digunakan sehingga akhir tahun ini dan mereka berkata kepada Kongres, AS$2OO juta (RM845 juta) terpaksa dibelanjakan setiap hari untuk usaha pemulihan.

    Dalam pada itu, Pengarah Bajet White House, Mick Mulvaney meminta semua agensi mengemukakan anggaran dana tambahan yang diperlukan menjelang akhir bulan ini untuk pelaksanaan program pemulihan bencana bagi tempoh jangka panjang.

    Sementara itu, Speaker Dewan Perwakilan, Paul Ryan berkata, lebih banyak dana bantuan diperlukan dan permohonan pembia­yaan baharu akan membantu usaha pemulihan terbabit.

    Dalam perkembangan sama, menurut Pemimpin Majoriti Senat, Mitch McConnell, Kongres harus menambah pembiayaan bagi Geran Pembangunan Blok Komuniti agar lebih fleksibel.

    “Geran tersebut melibatkan pembinaan semula pantai, jalan raya, sistem transit, lapangan terbang, pelabuhan dan infrastruktur lain,” jelas McConnell.– REUTERS

    Subjects:

  • No Comment to " AS Mohon Dana Bantu Mangsa Taufan "