• Arsenal Tak Lembik

    Published: Monday, 23 October 2017
    A- A+

    LIVERPOOL: Selepas berminggu-minggu dituduh ‘lembik’, kurang semangat, yang mencetus banyak perdebatan, Arsenal kembali mengingatkan apabila mereka cergas dan berfungsi seperti dirancang, The Gunners mampu menghasilkan kualiti terbaik.

    Sekali pun ketinggalan, skuad bimbingan Arsene Wenger itu bangkit untuk merakam kemenangan 5-2 ke atas Everton di Goodison Park dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam.

    Keputusan itu walaupun dibantu dengan ketiadaan satu-satunya pemain tengah bertahan tuan rumah Idrissa Gueye yang dilayangkan kad merah, ia turut hadir daripada inspirasi trio serangan Gunners yang menyinar.

    Buat pertama kali, Wenger mampu menyenaraikan bintang Jerman, Mesut Ozil, penyerang Chile Alexis Sanchez dan peledak Perancis Alexandre Lacazette dalam kesebelasan utama dan pengendali itu perlu mengharapkan berpeluang untuk mengulangi pilihannya itu.

    “Saya mengharapkannya tetapi saya merasakan yang keseluruhan pemain beraksi dengan baik,” kata Wenger. “Kami diuji secara mental apabila ketinggalan 1-0 selepas permulaan yang amat baik.

    “Kami tidak mampu melakukan gerakan penyudah dan penjaga gol mereka mengawal permainan dan secara tiba-tiba kami ketinggalan 1-0.

    “Ia adalah ujian mental tetapi kami meneruskannya, kekal fokus dan perlahan-lahan kualiti pergerakan kami, kualiti hantaran kami memberikan Everton masalah.

    “Selepas itu dengan kekuatan serangan yang kami miliki, sudah tentu ia menjadi perbezaan.”

    Wenger berkata dia tidak segan untuk menghamburkan pujian secara individu yang dikatakan menjadi kunci kejayaan iaitu Sanchez.

    “Dia sedang bersemangat tinggi. Saya percaya yang selepas dia pulih daripada kecederaan, dia bekerja dengan amat keras, Ozil juga sama.

    “Kedua-dua mereka tajam secara fizikal, amat senang bergerak dan jika kamu memiliki kualiti individu mereka, ia menjadikan mereka merbahaya terhadap semua pertahanan.”

    Everton mendahului menerusi Wayne Rooney pada minit ke-12 namun Nacho Monreal menyamakan kedudukan lima minit sebelum babak pertama berakhir.

    Ozil meledak gol pendahuluan pada minit ke-53 dan selepas ketiadaan Guaye pada minit ke-68, Arsenal menambah jaringan menerusi Lacazette (m74), Aaron Ramsey (m90) dan Alexis Sanchez pada masa kecederaan.-Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Arsenal Tak Lembik "