• Argentina, Uruguay, Paraguay Bergabung Bida Piala Dunia 2030

    Published: Thursday, 5 October 2017
    A- A+


    BUENOS AIRES: Argentina, Uruguay dan Paraguay akan bergabung untuk membida penganjuran Piala Dunia 2030, presiden ketiga-tiga negara itu mengesahkan semalam.

    Presiden Paraguay Horacio Cartes sebelum ini berkata, negaranya akan berkongsi pembidaan dengan jiran mereka Argentina dan Uruguay yang menganjurkan edisi sulung pada tahun 1930 dan muncul juara.

    Cartes bertemu dengan rakan sejawatnya di Argentina dan Uruguay, Mauricio Macri dan Tabare Vazquez di Buenos Aires semalam untuk memuktamadkan pengumuman berkenaan.

    "Mesyuarat pertama (untuk persediaan pembidaan) akan diadakan pada minggu pertama November," kata Cartes. "Negara-negara lain sudah pasti mahu menjadi tuan rumah tetapi kelebihan pada Uruguay sempena ulang tahun ke-100 tahun ini sejak mereka menganjurkan edisi pertama."

    Kali terakhir negara dari benua Amerika Selatan menganjurkan Piala Dunia ialah Brazil pada tahun 2014. Sebarang bidaan untuk tahun 2030 bakal mendapat saingan sengit daripada negara rantau Asia, di mana China dijangka menjadi calon utama dari rantau itu.

    Piala Dunia seterusnya akan berlangsung di Russia tahun depan, dengan Qatar mengambil alih penganjuran pada tahun 2022.

    Gabungan Amerika Syarikat-Mexico-Kanada mempunyai kelebihan untuk menjadi tuan rumah pada tahun 2026 apabila hanya Maghribi satu-satunya negara yang turut membida edisi berkenaan.

    Piala Dunia 2026 bakal menyaksikan 48 pasukan bersaing di pusingan akhir buat kali pertama berbanding format 32 pasukan ketika ini. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Argentina, Uruguay, Paraguay Bergabung Bida Piala Dunia 2030 "