• APMM tahan 3 kapal berlabuh tanpa kebenaran

    Published: Tuesday, 10 October 2017
    A- A+


    KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan tiga buah kapal pesisir kerana berlabuh tanpa kebenaran kira-kira 0.4 batu nautika dari daratan Sepat Lumut, semalam.

    Pengarah Maritim Daerah, Kapten Maritim Abu Zaki Mohammad, berkata kapal itu ditahan pada kira-kira jam 2.15 petang susulan aduan yang dibuat oleh Jabatan Laut Wilayah Tengah.

    "Aduan dibuat kerana ketiga-tiga kapal ini disyaki berlabuh tanpa kebenaran oleh pihak berkuasa.

    "Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 18 kru kapal warga China dan seorang warga Indonesia berumur dalam lingkungan 29 hingga 58 tahun," katanya dalam kenyataan akhbar, di sini hari ini.

    Abu Zaki berkata, ketiga-tiga kapal pesisir itu diiringi ke Pelabuhan Klang untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

    Mengulas lanjut, katanya, APMM akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan di perairan negara, khususnya di Selangor.

    "Orang ramai yang mempunyai maklumat juga diminta menghubungi talian 24 jam MERS 999 atau hubungi pusat operasi Maritim Malaysia," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " APMM tahan 3 kapal berlabuh tanpa kebenaran "