• Annie Au kejutkan Nicol di Terbuka AS

    Published: Tuesday, 10 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Selepas 23 tumbang kali kepada Nicol David, pemain Hong Kong, Annie Au menampilkan kejutan terbesar pada skuasy Terbuka Amerika Syarikat (AS) dekat Philadelphia apabila menewaskan juara dunia lapan kali dari Malaysia itu, pada pusingan kedua, sebentar tadi.

    Annie, bangkit selepas ketinggalan dua perlawanan awal untuk mengetepikan juara tiga kali Terbuka AS itu dengan keputusan 11-5, 11-5, 10-12, 8-11, 11-7 dalam masa 56 minit.

    Ia adalah kekalahan kedua pemain nombor enam dunia itu kepada pemain Hong Kong tahun ini, selepas tumpas kepada Joey Chan pada Temasya Dunia dekat Poland pada Julai lalu.

    "Menewaskan Nicol untuk kemenangan pertama saya di gelanggang kaca kejohanan ini ialah keputusan yang besar dan semua kerja keras sepanjang musim panas rasa berbaloi," kata pemain nombor sembilan dunia itu yang akan berdepan pemain England, Laura Massaro pada suku akhir.

    Nicol, yang menang Terbuka AS dari 2012 hingga 2014, adalah naib juara Terbuka Netsuite di San Francisco seminggu lalu.

    Kekalahan ini menyebabkan pemain berusia 34 tahun hanya meraih gelaran Ciudad de Floridablance di Colombia pada Mac, untuk tempoh 21 bulan.

    Selepas ketinggalan dua perlawanan dan terselamat dalam tie-break perlawanan ketiga, Nicol tampak mampu bangkit dan berjaya mengheret perlawanan ke set kelima.

    Namun Annie, 28, bangkit pada perlawanan terakhir untuk menamatkan kemarau lapan tahun, sejak kali pertama berdepan Nicol di Terbuka Seoul 2009.

    "Pada kedudukan 2-0, saya mula memikirkan kemenangan, saya mula mahu cepat (menghabiskan perlawanan) dan melakukan sedikit kesilapan yang memberikannya keyakinan," kata Annie.

    "Dia boleh bangkit daripada sebarang kedudukan dan saya perlu kembali kepada perancangan asal dan perlu lebih banyak bersabar.

    "Saya perlu menang perlawanan kelima dan saya bayangkan ia adalah permulaan perlawanan sekali lagi. Saya lupakan mengenai mata dan cuba bermain untuk mendapatkan setiap mata," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Annie Au kejutkan Nicol di Terbuka AS "