• Anina Saman Enam Individu

    Published: Saturday, 14 October 2017
    A- A+

    BANGI: Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin memfailkan saman fitnah terhadap enam ahli parti itu.

    Anina yang juga bekas Ketua Srikandi PPBM berkata, dia mengemukakan saman fitnah itu bagi membersihkan diri dan namanya yang dituduh menerima RM7 juta daripada UMNO.

    Katanya, saman difailkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam.

    Beliau berkata, saman itu langkah terkini beliau selepas berpuas hati bahawa semua proses dalaman parti sudah dilakukan.

    Anina berkata, dia turut menghantar notis tuntutan permohonan maaf terhadap enam individu yang disamannya itu tetapi sehingga hari ini tiada jawapan diterima.

    "Saya telah menghantar aduan ke Jawatankuasa Disiplin PPBM pada 2 Ogos lalu tetapi tiada sebarang siasatan dan tindakan diambil.

    "Saya juga membuat laporan kepada pihak polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada Julai selepas difitnah pada Jun di dalam Facebook," katanya pada sidang media di kediamannya di Bangi Golf Resort di sini, hari ini.

    Anina antara tujuh orang yang menubuhkan PPBM dilantik sebagai Ketua Srikandi yang kemudiannya dipecat pada Disember 2016.

    Beliau kemudiannya mengumumkan keluar PPBM pada 16 September lalu selepas parti itu gagal menyiasat kes fitnah berkenaan.

    Anina berkata, fitnah berkenaan terus berlegar di media sosial sehingga dibangkitkan dalam sidang media Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

    Katanya, kenyataan Syed Saddiq kononnya ada rancangan 'Rangkaian Dedak Terancang' bukan saja remeh malah cubaan memanjangkan fitnah ke atas beliau.

    "Saya difitnah mendapat RM7 juta pada Jun 2017 dan Syed Saddiq memberitahu mengetahui mengenai 'Rangkaian Dedak Terancang' sejak Disember 2016. Kenapa beliau mendedahkan perkara itu baru-baru ini," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Anina Saman Enam Individu "