• Ancaman Keganasan Tuntut Komitmen Kolektif

    Published: Thursday, 5 October 2017
    A- A+


    TAMPIN – Panglima Angkatan Tentera Singapura Lt. Jen. Perry Lim berkata peningkatan ancaman terhadap keselamatan maritim di rantau ini yang bersifat transnasional sejak tahun-tahun kebelakangan ini menuntut komitmen kolektif dan kerjasama antarabangsa.

    Justeru katanya Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) merupakan platform penting bagi negara anggota membangunkan keupayaan bersama dan mempamerkan satu iltizam untuk menentang keganasan.

    “Kegiatan keganasan kini meningkat dan ISIS sedang menyasarkan Asia Tenggara bagi mengukuhkan usaha menubuhkan sebuah pemerintahan khalifah. Australia, New Zealand dan United Kingdom juga mengalami ancaman keganasan serupa,” katanya berucap menutup Latihan ‘SUMAN Protector 2017’, di sini hari ini.

    Hadir sama Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

    Mengulas lanjut, Lim berkata pada masa FPDA menggembleng operasi bukan konvensional dalam latihan mereka, negara anggota perlu terus meningkatkan keupayaan konvensional FPDA memandangkan ia merupakan blok binaan asas perkongsian mereka.

    Beliau juga berkata Singapura kekal komited terhadap FPDA yang menyumbang kepada keamanan dan kestabilan rantau serta kekal menjadi bahagian penting dalam struktur keselamatan Singapura-Malaysia.

    “Amat penting untuk kita terus menyampaikan nilai-nilai profesional kepada semua warga tentera dalam kedua-dua domain, konvensional dan bukan konvensional,” kata Lim.

    FPDA melibatkan kerjasama pertahanan antara lima negara Komanwel – Malaysia, Singapura, United Kingdom, Australia dan New Zealand – sekiranya berlaku ancaman bersenjata terhadap Malaysia atau Singapura.

    SUMAN merupakan akronim yang dibentuk daripada huruf awalan Singapura, United Kingdom, Malaysia, Australia dan New Zealand.

    Latihan SUMAN Protector 2017 merupakan siri ketiga latihan selepas di Butterworth, Pulau Pinang pada 2007 dan Singapura pada 2012.

    Kira-kira 180 anggota tentera mengikuti latihan selama 11 hari sejak 25 Sept itu dan latihan seterusnya dijadualkan pada 2022 di Singapura. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Ancaman Keganasan Tuntut Komitmen Kolektif "