• Anak Enggan Ke Sekolah Dirantai Di Tong Gas

    Published: Friday, 6 October 2017
    A- A+


    KUANTAN – Seorang bapa sanggup bertindak di luar batas perikemanusiaan dengan tergamak merantai anaknya berusia 10 tahun pada tong gas di sebuah rumah di Indera Mahkota di sini.

    Menurut laporan media tempatan, lelaki tempatan berkenaan dipercayai sengaja berbuat demikian kerana mungkin tidak tahan lagi dengan sikap degil si anaknya itu yang dikatakan tidak mahu pergi ke sekolah untk belajar.

    Namun perbuatan kejamnya terbongkar selepas sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) melakukan pemeriksaan di rumah itu setelah menerima maklumat awam kira-kira 10 pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan polis kemudian berjaya menjumpai seorang kanak-kanak berada dalam keadaan leher dirantai pada sebuah tong gas.

    Pihak polis ujar beliau lagi, terpaksa memecah masuk ke dalam rumah berkenaan dan selepas itu mereka cuba untuk mengejutkan mangsa namun kanak-kanak tersebut pula didapati sudah tidak sedarkan dirinya.

    “Mangsa seterusnya segera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini dengan sebuah ambulans untuk menerima rawatan perubatan lebih lanjut,” kata Abdul Aziz kepada pemberita di sini hari ini.

    Menurut beliau lagi, bapa kepada kanak-kanak itu kemudian ditahan reman selama seminggu di lokap Balai Polis Kuantan dan kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016.

    Kata Abdul Aziz, isteri kepada suspek yang berusia 30 tahun turut ditahan polis bagi membantu siasatan kes itu. Difahamkan, mangsa merupakan anak ketiga daripada lima beradik bersekolah di sebuah sekolah di sini.

    Keadaan kanak-kanak tersebut kini bagaimanapun dilaporkan sudah semakin stabil. – Agensi/Mynewshub.cc

    Subjects:

  • No Comment to " Anak Enggan Ke Sekolah Dirantai Di Tong Gas "