• Anak beranak lalok dicekup

    Published: Thursday, 5 October 2017
    A- A+

    REMAJA lelaki berusia 16 tahun bersama ibu dan kakaknya antara lima individu yang ditahan polis dipercayai sedang menghisap dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kubang Chandong, Bota Kanan di Bota pada jam 1.30 pagi, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, lima individu ditahan membabitkan remaja terbabit bersama ibu, 43 dan kakak, 22, manakala dua lelaki lain masing-masing berusia 29 dan 38 tahun.

    Menurutnya, ketika diserbu mereka duduk menghadap antara satu sama lain di lantai di ruang tamu tingkat atas rumah berkenaan dan disyaki sedang asyik menghisap dadah.

    "Pemeriksaan pihak kami menemui 13 paket plastik dipercayai dadah jenis methamphetamine, dua balang kaca yang diubah suai dipercayai untuk menghisap dadah dan pemetik api.

    "Turut ditemui sebuah alat penimbang digital dan satu plastik yang berisi plastik disyaki untuk membungkus dadah manakala pemeriksaan lanjut di kawasan rumah berkenaan menemui sebuah peti besi mengandungi sebutir bom tangan dan 79 butir peluru hidup," katanya.

    Mohamad Zainal berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati empat suspek kecuali remaja berumur 16 tahun positif dadah jenis methamphetamine.

    Katanya, pemeriksaan lanjut turut mendapati lelaki berusia 29 tahun mempunyai empat rekod lampau membabitkan dadah serta pecah masuk dan curi manakala empat lain tiada rekod lampau.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya(ADB) 1952 , Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 8A Akta Senjata Api 1960.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Anak beranak lalok dicekup "