• Amin Dilantik KP Pelajaran Baharu

    Published: Tuesday, 17 October 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Dr Amin Senin dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran baharu, berkuat kuasa Khamis ini.

    Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata pelantikan itu bagi menggantikan Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof yang akan menamatkan perkhidmatan hari ini.

    Katanya, pelantikan itu adalah berdasarkan ciri kepemimpinan, kelayakan, pengalaman dan kecekapan dimiliki Amin khususnya dalam bidang pengurusan dan pembangunan pendidikan ketika memegang beberapa jawatan sebelum ini.

    Beliau berkata, Amin pernah menjawat jawatan Pengarah Institut Aminuddin Baki dan Timbalan Rektor, Institut Pendidikan Guru Malaysia.

    Katanya, Amin berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains dan Pendidikan dalam bidang Matematik dari Universiti Sains Malaysia; Ijazah Sarjana Sains (Pembangunan Sumber Manusia) dari Universiti Putra Malaysia dan Doktor Falsafah (Perancangan dan Pembangunan Sumber Manusia) dari Universiti Malaysia Sabah.

    "Beliau berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama lebih 33 tahun apabila mula menyertai perkhidmatan pendidikan pada 1 Ogos 1984," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Bagi pihak kerajaan, Ali turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Khair atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau selama lebih 35 tahun dalam perkhidmatan awam. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Amin Dilantik KP Pelajaran Baharu "