• Amerika tarik balik bantuan ketenteraan

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+

    WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semalam mengumumkan, menarik balik bantuan ketenteraan terhadap unit tentera dan pegawai Myanmar yang terbabit dalam keganasan ke atas Muslim Rohingya.

    Jurucakap Jabatan Negara AS, Heather Nauert, berkata pihaknya bimbang insiden terbaharu di Rakhine membabitkan keganasan dan penderaan trauma dialami pelarian Rohingya serta komuniti lain.

    "Penting mana-mana individu atau entiti yang bertanggungjawab terhadap kekejaman itu termasuk pihak berpengaruh dan samseng, dipertanggungjawabkan," katanya.

    Minggu lalu, Setiausaha Negara Rex Tillerson berkata, AS menganggap kepimpinan tentera Myanmar bertanggungjawab terhadap krisis pelarian Rohingya, pendekatan berbeza diambil daripada kerajaan awam Aung San Suu Kyi.

    Tillerson memberi amaran, dunia tidak berdiam diri dan menjadi saksi terhadap kekejaman dilaporkan, menambah tentera Myanmar seharusnya didisiplinkan dan 'dikekang.'

    Lebih 600,000 etnik Islam Rohingya lari ke Bangladesh dalam krisis terburuk bermula sejak 25 Ogos lalu.

    Washington sudah mengenakan sekatan ke atas pembabitan terhad dalam pasukan bersenjata Myanmar, selain sekatan jangka panjang jualan perkakasan tentera.

    Justeru, penarikan balik bantuan ketenteraan itu mengukuhkan kedudukannya.

    Sebagai tambahan, Jabatan Negara berkata, ia menghentikan pengecualian perjalanan untuk pemimpin kanan tentera Myanmar serta menimbang sekatan ekonomi ke atas individu dikaitkan 'pembunuhan beramai-ramai itu' bersama sekatan sasaran.

    AS juga membatalkan jemputan kepada anggota kanan pasukan keselamatan Myanmar ke acara ditaja negara itu serta memberi tekanan supaya 'akses tanpa batas' ke kawasan terjejas untuk misi pencarian fakta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), pertubuhan antarabangsa dan media.

    "Kerajaan Burma termasuk pasukan bersenjatanya perlu mengambil tindakan segera bagi memastikan keamanan dan keselamatan; melaksanakan komitmen memastikan akses kemanusiaan kepada masyarakat terdesak, membantu kepulangan selamat dan sukarela penduduk yang lari atau hilang tempat tinggal di Rakhine serta menangani punca akar umbi diskriminasi sistematik ke atas Rohingya," kata Nauert. -AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Amerika tarik balik bantuan ketenteraan "