• Amerika, Korea Selatan mula latihan tentera

    Published: Monday, 16 October 2017
    A- A+


    SEOUL: Korea Selatan dan Amerika Syarikat memulakan latihan tentera laut bersama selama seminggu di perairan sekitar Semenanjung Korea, hari ini, di sebalik ketegangan di rantau itu berikutan program senjata nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.

    "Kira-kira 40 kapal tentera laut dari kedua-dua negara, termasuk kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear USS Ronald Reagan menyertai latihan di timur dan barat pesisir Korea Selatan mulai 16 sehingga 20 Oktober," kata jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan, di sini, hari ini.

    Korea Utara sebelum ini menyifatkan latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat dan Korea Selatan sebagai 'raptai penjajahan'.

    Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson semalam berkata, Presiden Donald Trump mengarahkan beliau meneruskan usaha diplomasi untuk meredakan ketegangan dengan Korea Utara sambil memaklumkan usaha itu akan diteruskan 'sehingga bom pertama gugur'.

    Sejak beberapa minggu lalu, ketegangan di Semenanjung Korea meningkat susulan beberapa ujian senjata Pyongyang, termasuk ujian bom nuklear keenam dan yang paling kuat pada 3 September lalu serta dua peluru berpandu merentasi Jepun.

    "Korea Utara kini bersiap untuk menguji peluru berpandu jarak jauh yang mampu mencapai jarak pesisir barat Amerika Syarikat," kata pembuat dasar Russia yang mengunjungi Pyongyang, awal bulan ini.

    Sementara itu, beberapa pegawai risikan dan penganalisis Korea Selatan berkata, Korea Utara mungkin melancarkan provokasi seterusnya seiring dengan kongres Parti Komunis China pada Rabu ini. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Amerika, Korea Selatan mula latihan tentera "