• Akhirnya Sang Bedal Mati Tertelan Kail

    Published: Monday, 9 October 2017
    A- A+

    Seekor buaya yang dipercayai menyerang dua lelaki di Sungai Bengkoka, Pitas, baru-baru ini, ditangkap seorang lelaki dengan menggunakan pancing, semalam

    Dalam kejadian 4 pagi itu, buaya sepanjang kira-kira empat meter itu bagaimanapun mati dipercayai akibat kecederaan kerana tertelan kail dengan umpan ayam.

    Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah Augustine Tuuga berkata, usaha menangkap buaya itu sudah lama dilakukan oleh penduduk kampung susulan kejadian dua lelaki cedera digigit buaya di sungai berkenaan.

    “Usaha menangkap buaya di Sungai Bengkoka berhampiran jeti lama Kampung Bawang Pitas ini dilakukan berikutan serangan berlaku pada 29 Ogos dan 11 September lalu.

    “Ia dijalankan sejak dua bulan lalu sebelum reptilia itu berjaya ditangkap semalam,” katanya.

    Augustine berkata, kes serangan pertama membabitkan seorang penduduk Kampung Bawang yang cedera di kaki dan badan, pada 29 Ogos lalu.

    “Dalam kejadian itu, mangsa dapat melepaskan diri seterusnya mendapat rawatan di Hospital Pitas.

    “Pada 11 September pula, satu lagi serangan buaya berlaku berhampiran tempat sama.

    “Mangsa dikenali sebagai Nekson Dayui berusia 30-an dipercayai digigit buaya di kaki semasa mandi selepas selesai menjala ikan.

    “Mangsa dapat melepaskan diri dan mendapat rawatan di hospital sama,” katanya.

    Katanya, sejak menerima aduan serangan buaya yang pertama, anggota JHL Sabah sudah memasang perangkap buaya untuk menangkap reptilia itu yang menjadi ancaman penduduk kampung.

    “Kami juga meminta seorang penduduk kampung untuk membantu usaha itu dengan memasang pancing.

    “Selepas hampir dua bulan, seekor buaya berjaya ditangkap apabila terkena pancing penduduk kampung,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Akhirnya Sang Bedal Mati Tertelan Kail "