• Akhbar Kwong Wah Yit Poh Pecat Pengerusi NUJ

    Published: Thursday, 12 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ Malaysia) mendakwa seorang lagi pengerusi cawangannya telah dipecat berkuatkuasa serta merta oleh sebuah syarikat akhbar berbahasa Cina.

    Presidennya, Mohd. Taufek Razak berkata, wartawan yang dipecat tersebut ialah Chua Cheong Wee, 48, yang sudah hampir 25 tahun berkhidmat di Kwong Wah Yit Poh Press Berhad yang berpengkalan di Pulau Pinang.

    “Beliau dipecat atas alasan tidak ikut arahan ketua dan tidak menghormatinya dengan mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati dan merendah-rendahkan ketuanya di depan kakitangan lain.

    “Ini merupakan pemecatan kedua pernah berlaku dalam tempoh lapan tahun membabitkan pengerusi cawangan NUJ.

    “Sebelum ini, pengerusi NUJ cawangan Utusan Melayu, Amran Ahmad pernah dipecat pada 2009 atas alasan berbeza dan sehingga kini masih menunggu keputusan dari Mahkamah Perusahaan,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Mohd. Taufek mendakwa, Cheong Wee dipindahkan dari ibu pejabat Kwong Wah di Pulau Pinang ke Kuala Lumpur pada April lalu dan beliau terpaksa menumpang tinggal di pejabat NUJ di Brickfield kerana tidak mampu membayar sewa yang tinggi di Kuala Lumpur.

    Selain itu, dakwanya, Cheong Wee terpaksa berulang-alik ke Pulau Pinang sekurang-kurangnya seminggu sekali kerana isteri yang tidak bekerja tetap dan dua anaknya yang masih bersekolah ditinggalkan di sana.

    Dakwa beliau, salah satu alasan Cheong Wee dipecat berkaitan penolakan permohonan cutinya untuk pulang bersama keluarga telah ditolak ketuanya di Kuala Lumpur menyebabkan dia membantah dengan keras.

    “Bantahannya itu telah dirakam dan dijadikan bukti untuk memecatnya. Esok Cheong Wee akan memfailkan kes pemecatannya itu ke Jabatan Perhubungan Perusahaan di Pulau Pinang bagi menuntut keadilan,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Akhbar Kwong Wah Yit Poh Pecat Pengerusi NUJ "