• AIM Sasar 1 Juta Ahli Kelab Usahawan

    Published: Sunday, 8 October 2017
    A- A+

    AMANAH Ikhtiar Malaysia (AIM) menyasarkan 1 juta ahli kelab sahabat usahawan Melayu di seluruh negara menjelang 2020.

    Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Shahaimi Othman berkata, pihaknya yakin sasaran itu dapat dicapai berikutan sambutan terhadap AIM meningkat setiap tahun.

    " Menjelang akhir tahun ini juga disasarkan mencapai 400,000 ahli sahabat AIM memandangkan angka terkini sekarang melebihi 350,000 ahli.

    "Pinjaman yang dikeluarkan setakat ini juga meningkat kepada RM2.2 bilion dan jika dapat dicapai kepada 1 juta ahli pinjaman pula akan meningkat tinggi," katanya selepas Majlis Perasmian Himpunan Usahawan AIM di Bukit Chekati, Gua Musang, hari ini.

    Perasmian itu dilakukan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

    Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Datuk Nozula Mat Diah dan ADUN Galas, Ab Aziz Yusof.

    Mengulas lanjut, Shahaimi berkata, peratusan bayar balik pinjaman itu masih bertahan 98.5 peratus di seluruh negara dan bilangan gagal dibayar dianggap terendah.

    "Mereka yang gagal bayar balik itu bukan disengajakan tetapi ada sebab lain termasuk kematian dan terbabit kemalangan.

    "Yang gagal ini kita ada kelab usahawan yang akan membantu bagi mereka (kematian atau kemalangan) untuk bayaran balik. Sebab itulah mereka patut sertai kelab usahawan ini supaya dapat menampung mereka bermasalah," katanya. - HMetro

    Subjects:

  • No Comment to " AIM Sasar 1 Juta Ahli Kelab Usahawan "