• Aduan Industri Penerbangan Meningkat

    Published: Tuesday, 17 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menerima 677 aduan pengguna berhubung industri penerbangan bagi tempoh Mac hingga Ogos 2017 iaitu 92 peratus peningkatan berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

    Ini berdasarkan Laporan Pengguna kedua MAVCOM yang diterbitkan hari ini dengan tiga kategori utama dikenal pasti iaitu isu bayaran balik, isu pengendalian bagasi dan isu penundaan penerbangan, yang secara kolektif mewakili 62.6 peratus keseluruhan aduan.

    Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Jeneral (B) Tan Sri Abdullah Ahmad dalam kenyataannya berkata, pertambahan aduan menunjukkan peningkatan kesedaran dalam kalangan pengguna mengenai hak mereka sebagai pengguna penerbangan.

    "Ini amat baik kerana ia menunjukkan semua aktiviti kesedaran pengguna dijalankan MAVCOM dalam tempoh 18 bulan lalu mencapai matlamatnya untuk menggalakkan lebih ramai rakyat melaksanakan hak sebagai pengguna," katanya.

    Beliau berkata, daripada keseluruhan jumlah aduan diterima MAVCOM, 99.1 peratus kes berjaya diselesaikan, dengan syarikat penerbangan Malaysia Airlines diikuti Malindo Air dan AirAsia menerima aduan pengguna tertinggi.

    MAVCOM yang ditubuhkan pada Mac 2016 menerbitkan Laporan Pengguna pertama, merangkumi statistik aduan bagi tempoh Mac 2016 hingga Februari 2017.

    Kenyataan itu juga menyebut mengenai dua inisiatif utama MAVCOM, yang dalam perancangan iaitu pelaksanaan Matriks Penalti dan Pematuhan (Matriks) untuk syarikat penerbangan dan Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan (QoS) untuk lapangan terbang.

    Matriks ialah rangka kerja yang berfungsi untuk menentukan denda kewangan ke atas syarikat penerbangan jika berlaku ketidakpatuhan.

    QoS pula bertujuan menetapkan tahap perkhidmatan dan menjadi petunjuk prestasi bagi lapangan terbang di Malaysia, meliputi isu seperti kebersihan, tempoh giliran dan kualiti infrastruktur.

    Di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016, syarikat penerbangan boleh dikenakan penalti kewangan tidak melebihi RM200,000 bagi sebarang ketidakpatuhan.

    Laporan Pengguna MAVCOM dikeluarkan setiap enam bulan sekali dan boleh didapati di laman web www.mavcom.my. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Aduan Industri Penerbangan Meningkat "