• Adam Intai Podium GP Malaysia

    Published: Friday, 27 October 2017
    A- A+

    SEPANG: Kegagalan menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia tahun lalu akibat terjatuh seawal pusingan pertama tidak menghantui pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin untuk bangkit memburu keputusan terbaiknya kali ini.

    Pelumba pasukan SIC Racing itu berkata, sekali pun terjatuh, insiden itu bukan berpunca daripada kesilapannya dan sasaran tahun ini adalah untuk menamatkan saingan di kelompok lima terbaik atau cuba untuk mendaki podium.

    "Apa yang pasti jangkaan tahun ini makin tinggi jadi saya perlu bekerja keras sejak hari pertama lagi," kata Adam yang mengharungi tahun keduanya di kelas Moto3, tahun ini.

    "Musim ini, kami memperoleh permulaan yang bagus tapi bergelut selepas itu sebelum bangkit di pertengahan musim dan mula mengumpul mata kejuaraan.

    "Ketika ini, kami semakin kuat dari perlumbaan ke perlumbaan dan saya akan cuba untuk mendapatkan keputusan baik di sini. GP Malaysia salah satu litar kegemaran saya dan saya harap untuk melakar keputusan baik.

    "Sasaran saya adalah lima terbaik dan jika berpeluang ke podium, saya akan cuba untuk mengambilnya. Kami ketika ini mempunyai pakej yang baik jadi kami perlu lebih berusaha untuk berada di sana."

    Selepas 17 pusingan perlumbaan, Adam ketika ini menghuni tangga ke-17 keseluruhan pelumba Moto3 selepas mengumpul keseluruhan 37 mata dengan pencapaian terbaiknya adalah di tangga kelapan.

    Untuk mencerahkan peluangnya mencapai sasaran yang ditetapkan, Adam berkata, dia perlu meraih petak permulaan yang baik di Sepang.

    "Sesi kelayakan di Sepang agak sukar jadi saya perlu berusaha keras untuk mendapatkan kedudukan baik iaitu di petak lima terbaik bagi mendapatkan keputusan yang diinginkan," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Adam Intai Podium GP Malaysia "