• Ada Yang 'Main Wayang' - KPN

    Published: Wednesday, 11 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, mengulangi amaran kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menjauhi rasuah.

    Menurutnya, isu integriti sentiasa diberi perhatian sejak menerajui PDRM awal bulan lalu.

    Beliau mengulangi empat fokus utama sejajar usaha memelihara integriti dan memulihkan imej PDRM di mata masyarakat, selain dalam pasukan sendiri.

    "Mungkin ramai yang jemu dan tidak suka, namun saya tidak akan berhenti bercakap mengenainya,

    "Aspek pertama ialah penghayatan konsep 'back to basic' (kembali kepada asas) dan fokus kedua adalah memelihara integriti serta menghindari rasuah.

    "Fokus ketiga sedang saya jalankan walaupun ramai yang 'berlakon', 'main wayang' pun ada dan sebagainya tapi saya akan teruskan iaitu memerangi judi, jenayah bersindiket dan gangsterism," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Bual Bicara Sarapan Pagi Berkaitan Integriti bertajuk 'Kelestarian Keamanan Negara - Perspektif Integriti' di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL) di sini, hari ini.

    Bual bicara anjuran Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) itu turut sertai Naib Canselor Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

    Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff selaku moderator program bual bicara.

    "Saya tidak akan bertolak-ansur dalam perkara ini. Jika saya perlu buang KP (ketua polis), saya akan buang. Banyak pihak cuba mengambil kesempatan terhadap saya," katanya.

    Menurutnya, fokus ketiga adalah tugas utama menjaga keselamatan manakala yang keempat memperkasakan Kepolisan Berpandukan Risikan (LED).

    Pada sidang media selepas itu, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya akan memastikan isu rasuah dalam PDRM berada pada tahap paling minimum menerusi beberapa pelan termasuk kerjasama dengan INTEGRITI. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Ada Yang 'Main Wayang' - KPN "