• Abe Menang Undi, Bukan Hati Pengundi Jepun

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+

    TOKYO: Shinzo Abe mungkin meraih 'majoriti luar biasa' dalam Parlimen Jepun, namun beliau gagal memenangi hati dan fikiran pengundi yang masih curiga dengan gerak hati nasionalisnya serta tidak tertarik dengan usahanya untuk mengubah Perlembagaan negara itu.

    Hakikatnya, Abe kini memiliki sokongan Parlimen untuk memulakan satu proses yang akan memantapkan peranan tentera, antara impian yang sekian lama beliau idamkan.

    Misi utama kerajaan Tokyo kini akan lebih terarah kepada usaha menyekat ancaman Korea Utara dalam ujian serangan nuklear, dan Abe berkata beliau akan berbincang dengan Presiden Donald Trump apabila pemimpin Amerika Syarikat itu berkunjung ke Jepun, bulan depan.

    Kemenangan kali ini tidak menggambarkan sokongan sebenar yang dinanti-nantikan veteran berusia 63 tahun itu, terutama selepas dihimpit pelbagai kemelut dan skandal sehingga popularitinya merudum.

    Difahamkan kemenangan yang diperoleh Abe lebih menjurus kepada kelalaian serta kesempatan yang diambil berikutan kepincangan dalam susunan strategi barisan pembangkang.

    Pilihan raya ini mengesahkan lagi 'hubungan Abe dengan rakyat Jepun yang bermasalah', kata Tobias Harris, seorang pakar politik Jepun dari syarikat perundingan Teneo Intelligence yang berpusat di Washington.

    "Pun begitu rakyat masih menghargai jasa beliau dalam beberapa aspek tertentu. Tetapi, 'beliau tidak disayangi'" kata Harris.

    Kaji selidik oleh Kyodo News menunjukkan lebih daripada separuh pengundi (51 peratus) tidak mempercayai Perdana Menteri mereka, sementara kaji selidik oleh akhbar liberal, Asahi mendapati 47 peratus daripada responden ingin melihat orang lain memimpin Jepun. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Abe Menang Undi, Bukan Hati Pengundi Jepun "