• 900 Guru Di Sarawak Ikuti Seminar Bahasa Inggeris

    Published: Sunday, 22 October 2017
    A- A+

    SIBU – Lebih 900 guru Bahasa Inggeris di Sarawak akan menghadiri seminar tiga hari bagi meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

    Menteri Muda Pendidikan, Penyelidikan Sains dan Teknologi, Dr Annuar Rapaee berkata seminar anjuran kementeriannya akan diadakan mulai esok di Kuching dan dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

    Beliau berkata beberapa pakar bahasa Inggeris termasuk dari Singapura dijemput untuk memberi syarahan.

    “Kerajaan negeri mahu meningkat dan menaik taraf kualiti kecekapan bahasa Inggeris. Secara am kecekapan bahasa Inggeris di Sarawak kini tidak berapa baik berbanding tahun 70-an dan 80-an.

    “Oleh itu seminar ini akan membantu kerajaan negeri untuk menggaris strategi dalam usaha kita itu. Ini rancangan jangka panjang kita. Dengan pengalaman dan latar belakang kecekapan tinggi bahasa Inggeris di Sarawak sebelum ini, ia mungkin tidak sukar untuk mengekal prestasi seperti itu,” katanya kepada pemberita pada majlis penutupan karnival Bandong Walk di sini malam tadi.

    Annuar berkata antara sebab bahasa Inggeris menurun di Sarawak ialah ia hanya digunakan untuk mengajar subjek Bahasa Inggeris.

    Beliau berkata langkah untuk mengambil tenaga pengajar dari negara luar bagi mengajar bahasa Inggeris boleh dipertimbangkan. – BERNAMA
  • No Comment to " 900 Guru Di Sarawak Ikuti Seminar Bahasa Inggeris "