• 9 Dragons: Bekas KPN Pernah Buka Cerita

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+

    PENDEDAHAN mengenai kewujudan sembilan orang ketua atau digelar ‘dragon’ yang mengawal aktiviti jenayah di negara ini sejak bertahun-tahun lamanya semenangnya sesuatu yang mengejutkan.

    Berdasarkan kenyataan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), sembilan dragon itu mempunyai kuasa cukup hebat di mana bukan sahaja mengusai sindiket perjudian, malah mempunyai ‘kuasa’ dalam agensi penguat kuasa.

    Bayangkan, setiap bulan kumpulan sembilan dragon itu dikatakan bebas mengutip sehingga RM5 bilion hasil daripada pusat perjudian di seluruh negara tanpa merisaukan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

    Melihatkan perkara ini, mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pernah mendedahkan pakatan sulit yang telah lama wujud di antara rangkaian kongsi gelap dengan pasukan Polis Diraja Malaysia.

    Beliau dalam sebuah temubual yang dilakukan sebuah portal beberapa tahun lalu, mengakui hubungan rangkaian kongsi gelap dan ahli politik tanah air disifatkan berada di tahap yang “serius”.

    Menceritakan kembali, beliau ketika menyandang jawatan Ketua Polis Johor, telah mengambil pelbagai langkah serius bagi membanteras kegiatan haram yang berleluasa di negeri terbabit.

    Tindakan itu menyebabkan ramai ketua-ketua kongsi gelap pada waktu itu melarikan diri ke luar negara.

    Satu senarai nama telah dikeluarkan dan jika ketua-ketua kongsi gelap ini pulang ke negara, mereka akan segera ditangkap.

    “Saya mengarahkan pegawai-pegawai saya pada masa itu, buat satu senarai, bila mereka balik tangkap, mereka ini terlibat dengan pelacuran, terlibat dengan dadah, terlibat dengan macam-macam (aktiviti haram),” katanya.

    Tindakan tegas itu katanya telah menimbulkan kemarahan pihak-pihak tertentu yang terlibat dengan kegiatan haram.

    “Apabila saya buat begitu, banyak pihak-pihak ataupun kumpulan-kumpulan, yang terlibat dengan kegiatan haram, (jadi) marah.

    “Jadi oleh sebab itu apabila saya tegas sangat di sana, mereka yang atas ni dah ‘complaint’ terutama sekali memberitahu kepada IGP (Ketua Polis Negara) terdahulu, memberitahu saya ni pasal apa mengambil tindakan-tindakan begini.

    “Pasal apa you tak ‘control’ CPO (Ketua Polis),” katanya.

    Musa turut mendedahkan, ada ahli politik tertentu yang datang ke pejabatnya, tidak berpuas hati apabila ketua-ketua kongsi gelap yang ditahan adalah rakan-rakannya.

    Katanya lagi, hubungan kongsi gelap dengan pegawai-pegawai polis dan ahli politik memang sudah lama wujud.

    “Bila saya mengambil tindakan terhadap kumpulan ‘underground’ (kongsi gelap) ini, memang terlibat dengan kawan-kawan mereka, termasuk pegawai polis atau pun orang politik, mereka dah lama wujud,” dedahnya.

    Katanya lagi, ahli politik dan pegawai polis terlibat ini menjadi marah kerana habuan yang disebutnya sebagai ‘duit extra’ mereka terjejas.

    Dedahnya lagi, kumpulan kongsi gelap ini mampu mengawal ahli politik dan pegawai polis kerana mereka menjalankan aktiviti haram seperti dadah, pelacuran, pemerdagangan manusia, dan pengubahan wang haram.

    Justeru mereka tidak perlu membayar cukai kepada kerajaan menyebabkan mereka mempunyai dana yang besar untuk mengawal individu-individu yang disebutkan di atas. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " 9 Dragons: Bekas KPN Pernah Buka Cerita "