• 702 Pusat Pengajian Islam Suda Diperiksa – Bomba

    Published: Sunday, 1 October 2017
    A- A+


    TEMERLOH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah melakukan pemeriksaan secara menyeluruh ke atas 702 daripada 2,428 pusat pengajian Islam di seluruh negara.

    Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Bomba Datuk Amer Yusof berkata laporan terperinci mengenai tahap keselamatannya dijangka dapat dikeluarkan dalam tempoh sebulan.

    “Terdapat 2,428 pusat pengajian agama di negara ini merangkumi 929 pusat tahfiz, 290 buah sekolah pondok, 394 sekolah agama dan 815 sekolah agama negeri.

    “Pemeriksaan yang dijalankan ke atas 702 buah pusat pengajian ini meliputi semua aspek, khususnya keselamatan,” katanya di sini, hari ini.

    Amer berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Paya Luas di sini hari ini.

    Majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin dan turut hadir Pengarah Bomba Pahang Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.

    Sementara itu, Abdul Wahab berkata di Pahang, terdapat 32 pusat pengajian Islam telah menjalani pemeriksaan keselamatan bomba.

    Katanya, pemeriksaan juga mendapati sebanyak 46 pusat pengajian Islam berdaftar manakala 33 lagi belum berdaftar. – Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " 702 Pusat Pengajian Islam Suda Diperiksa – Bomba "