• 60,000 Pegawai, Anggota Polis Giat Jalani Latihan Hadapi PRU14

    Published: Friday, 13 October 2017
    A- A+

    Unit Pencegahan Rusuhan (PORU) di Sarawak sudah memadai untuk memainkan peranan seperti Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang ada di Semenanjung Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

    "Di Sarawak unit dan isu di sini berbeza daripada Semenanjung Malaysia, di mana keadaan tidak terlalu kritikal dan ini adalah salah satu sebab kenapa kita tidak ada FRU tetapi hanya PORU di Sarawak," kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KPDKA) Datuk Seri Zulkifli Abdullan seperti dilaporkan Utusan Borneo.

    Menurutnya, pihaknya sentiasa membuat penilaian mengenai keperluan FRU di negeri ini.

    "Setakat ini kita dapati tiada keperluan FRU di negeri ini dan sekiranya perlu juga, kita boleh terbangkan unit tersebut (FRU) yang sedia ada di Semenanjung Malaysia untuk tugas-tugas di sini.

    "Di Sarawak, PGA (Pasukan Gerakan Am) akan memainkan peranan FRU, di mana terdapat enam PORU yang mempunyai peranan sama terutama dalam menjaga keselamatan awam," ujarnya.

    Sementara itu, Zulkifli mendedahkan, seramai 60,000 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara kini sedang menjalani latihan persediaan menghadapi PRU14.

    Tambahnya, latihan tersebut yang dijadualkan tamat pada penghujung bulan depan adalah untuk kesiapsiagaan anggota dalam menghadapi cabaran sepanjang PRU.

    "Kita mahu pasukan sentiasa dalam keadaan bersiap sedia apabila kerajaan mengumumkan tarikh PRU14 nanti," ujarnya.-Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " 60,000 Pegawai, Anggota Polis Giat Jalani Latihan Hadapi PRU14 "