• 47 Pekerja Maut Kebakaran Kilang Mercun

    Published: Friday, 27 October 2017
    A- A+

    JAKARTA: Sebuah kilang mercun di Tangerang, barat Jakarta terbakar sebelum meletup mengakibatkan 47 pekerja maut manakala berpuluh-puluh lagi cedera.

    Imej yang disiarkan beberapa stesen televisyen tempatan menunjukkan asap tebal menyelubungi kilang dengan penduduk tempatan memberitahu, ketika kejadian, terdapat dua le­tupan besar berlaku.

    Menurut mereka, letupan pertama berlaku sekitar pukul 10 pagi waktu tempatan manakala letupan kedua pula kira-kira tiga jam kemudian.

    Ketua Polis Tangerang, Harry Kurniawan seperti dilaporkan portal Detik.com berkata, mayat mangsa yang terkorban ditemukan anggotanya sebaik sahaja memasuki kilang itu.

    Jurucakap polis Jakarta, Argo Yuwono memaklumkan, berdasarkan maklumat yang dite­rima, kilang itu mempunyai 103 orang pekerja dan 46 daripada mereka dilaporkan cedera.

    “Kami masih mengesan 10 lagi pekerja, sama ada mereka me­ngalami cedera ringan atau tidak datang kerja ketika kejadian berlaku,” jelasnya.

    Imej oleh media tempatan pula menunjukkan, kilang PT Panca Buana Cahaya Sukses itu dipenuhi debu dan serpihan letupan.

    Atap kilang terbabit juga dilaporkan hilang akibat letupan berkenaan.

    Difahamkan, kilang tersebut baharu memulakan operasi sejak dua bulan lalu.

    Terdahulu seorang doktor di Unit Kecemasan Hospital Tangerang, Fiza, memberitahu Metro TV dia telah merawat tujuh mangsa dengan kebanyakan daripada mereka melecur 80 peratus.

    Jelasnya, tiga pesakit tersebut dilaporkan kritikal.

    Seorang penduduk tempatan, Beni Benteng berkata, dia terde­ngar bunyi letupan yang kuat dan orang menjerit meminta tolong.

    “Saya dan rakan serta beberapa anggota polis meme­cahkan tembok bagi memboleh­kan mereka yang terperangkap menyelamatkan diri. Saya lihat pekerja termasuk wanita melompat dari tingkat atas premis,” jelasnya.

    Sementara itu, pihak berkuasa masih belum mengenal pasti punca kebakaran itu namun mengesahkan kebakaran bermula berhampiran pintu depan dan merebak dengan cepat.

    “Mangsa ditemukan di belakang premis dan kelihatan mereka cuba mengelak kebakaran dari pintu depan,” kata sumber.

    Menurut seorang pekerja kilang yang ditemui, Ade, kebakaran berpunca ketika pro­ses pembuatan mercun sedang dijalankan.

    “Saya tidak tahu bagaimana kebakaran berlaku, saya sedang bekerja di luar kilang dan terdapat beberapa letupan. Empat kereta meletup dan hampir semua motosikal di kawasan kilang juga meletup,” katanya.–REUTERS

    Subjects:

  • No Comment to " 47 Pekerja Maut Kebakaran Kilang Mercun "