• 4 Tokoh Nilam Sarawak 2017 Ke Peringkat Nasional

    Published: Friday, 6 October 2017
    A- A+

    KOTA SAMARAHAN – Empat pelajar akan mewakili Sarawak pada pertandingan Anugerah NILAM Peringkat Kebangsaan 2018 selepas dinobatkan pemenang Tokoh NILAM Sarawak 2017 di sini hari ini.

    Sebanyak empat kategori dipertandingkan di bawah program NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca) iaitu kategori Bahasa Melayu Sekolah Rendah dan sekolah Menengah dan kategori Bahasa Inggeris Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah.

    Pelajar dari Sekolah Kebangsaan St Joseph, Miri, Sim Li Yan telah memenangi anugerah kategori Bahasa Melayu Sekolah Rendah manakala Gwen Angel Unoi Gulin dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung San, Miri, memenangi kategori Bahasa Inggeris Sekolah Rendah.

    Dalam kategori sekolah menengah, bahasa Melayu dimenangi oleh Chris Alvin Terence dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Luke, Sri Aman manakala kategori bahasa Inggeris disandang oleh Walter Jeremiah Law Shuo Wang dari SMK Batu Lintang, Kuching.

    Kesemua pemenang menerima trofi dan sijil daripada Residen Bahagian Kota Samarahan, Brahim Lumpu, yang mewakili Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang.

    Sejumlah 44 pelajar dari 11 bahagian di Sarawak menyertai pertandingan peringkat negeri tahun ini.

    NILAM merupakan satu usaha Kementerian Pendidikan untuk membina tabiat membaca dalam kalangan murid dengan hasrat mewujudkan masyarakat Malaysia yang cintakan budaya membaca dan budaya ilmu.

    Program NILAM ini merangkumi rancangan membina tabiat membaca secara terancang dan berterusan melalui aktiviti-aktiviti galakan membaca di sekolah. – BERNAMA
  • No Comment to " 4 Tokoh Nilam Sarawak 2017 Ke Peringkat Nasional "