• 4 Buah Kampung Di Saribas Masih Ternanti-Nanti Projek Bekalan Air

    Published: Monday, 30 October 2017
    A- A+


    DEBAK: Projek bekalan air bersih yang dijanjikan kerajaan kepada empat buah kampung (Tuie, Serabang, Mangut dan Supa) masih belum bermula hingga hari ini.

    Projek yang sebelum ini diwar-warkan akan bermula pada bulan Oktober hingga kini masih tiada perkembangan apa-apa, walaupun dialog bersama pihak berwewenang dan penduduk kampung yang terlibat telah dilakukan.

    Malah Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Betong, Datuk Amar Douglas Uggah juga sudah mengumumkan bajet berjumlah RM20 juta bagi pelaksanaan projek itu.

    Menurut seorang penduduk kampung Tuie, Melaini Bolhassan, 40, penantian serta keluhan penduduk selama ini bagaikan tiada penghujung. Setiap kali musim panas, penduduk kampung akan menggunakan air dari parit untuk mandi dan mencuci baju.

    Beliau memberitahu, penduduk juga terpaksa membeli air dari Pekan Spaoh atau Pekan Debak untuk kegunaan memasak kerana khuatir akan risiko penyakit berbahaya seperti taun dan cirit birit sekiranya menggunakan sumber lain.

    "Sebagai penduduk saya sangat kecewa kerana janji yang diberi kepada kami sebelum ini seolah-olah tidak dipandang serius," ujarnya.

    Abang Jusmaini 48, yang berkerja sebagai nelayan berkata penduduk memnyedari projek ini tersekat di peringkat pelaksanaan.

    Menurutnya, sebagai penduduk yang terlibat dengan masalah tersebut beliau menyeru pihak kementerian mahupun jabatan yang bertanggungjawab agar segera melaksanakan projek itu kerana penantian penduduk sudah terlalu lama.

    "Projek ini memerlukan perhatian serius dan kami tahu, sekiranya pihak bertanggungjawab memandang serius akan perkara ini, projek ini pasti akan dilaksanakan dengan segera," tegasnya.

    Malah katanya, selama ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohd Razi sentiasa bekerja keras bersama-sama dengan penduduk untuk memastikan projek belakan air bersih dilaksanakan secepat mungkin, namun hingga kini ianya masih menemui jalan buntu.

    Sementara itu, Kaunselor Suib Paiee, 47 berkata, pihaknya amat berharap agar projek bekalan air dapat dimulakan segera.

    "Harapan penduduk di kawasan Saribas terhadap projek bekalan air bersih amat tinggi.

    "Pelaksanaan projek ini pasti akan menggembirakan penduduk kerana ia amat dinanti-nantikan," katanya. – Sarawakiana
  • No Comment to " 4 Buah Kampung Di Saribas Masih Ternanti-Nanti Projek Bekalan Air "