• 300,000 Bantah Keganasan Polis Di Catalan

    Published: Wednesday, 4 October 2017
    A- A+

    BARCELONA: Kira-kira 300,000 penduduk Catalan membantah hari ini berikutan berang terhadap keganasan polis ke atas pengundi ketika satu pungutan suara diharamkan hujung minggu lalu.

    Pada masa sama, kerajaan pusat di Madrid menuduh pihak berkuasa serantau di Catalonia 'menghasut pemberontakan.'

    Penunjuk perasaan menjerit supaya pasukan keselamatan kebangsaan 'berambus' dari rantau itu, menggelar mereka 'tentera penjajah,' ketika pertelingkahan kerajaan nasional dengan rantau itu mengheret Sepanyol lebih jauh ke kancah krisis politik terburuk sejak bangkit daripada pemerintahan diktator pada 1977.

    Penunjuk perasaan termasuk pelajar dan keluarga muda memenuhi jalanan di ibu kota rantau itu di sini sambil mengibarkan bendera berjalur merah dan kuning Catalan.

    'Tutup untuk revolusi,' tulis satu kain rentang dalam kalangan tunjuk perasaan.

    Kelab bola sepak Barcelona enggan berlatih sebagai sebahagian bantahan, yang dikatakan pihak berkuasa melambatkan pergerakan pengangkutan awam dan penghantaran kargo di pelabuhan di sini.

    "Pada 1 Oktober kami menjadi sebuah negara dijajah dan mereka masih belum pergi," kata seorang penunjuk perasaan di sini, Antonia Maria Maura, guru sekolah berusia 56 tahun merujuk kepada polis dihantar untuk menghalang pengundi kelmarin.

    Gambar polis memukul pengundi Catalan tidak bersenjata menggunakan cota dan mengheret rambut sesetengah daripadanya ketika undian kelmarin menarik kritikan antarabangsa.

    Jurucakap Suruhanjaya Eropah (EC) Margaritis Schinas memberi amaran semalam, 'keganasan tidak boleh menjadi alat dalam politik.'

    Namun ketegangan memuncak semalaman ketika rakyat Catalan tidak mengendahkan ikrar kerajaan Sepanyol untuk memastikan Catalonia sebagai satu daripada rantau negara itu.

    Tuntutan kemerdekaan untuk Catalonia bermula sejak berkurun lalu namun muncul beberapa tahun kebelakangan ini susulan krisis ekonomi.

    Sebuah rantau industri yang kaya dengan 7.5 juta penduduk atau satu perlima daripada ekonomi Sepanyol, ia memiliki bahasa dan budaya sendiri. -AFP

    Subjects:

  • No Comment to " 300,000 Bantah Keganasan Polis Di Catalan "