• 2 Penuntut Terlepas Tali Gantung

    Published: Saturday, 28 October 2017
    A- A+

    MELAKA: Dua lelaki warga asing yang juga penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) swasta terlepas daripada tali gantung selepas Mahkamah Tinggi Melaka, semalam, melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan mengedar dadah, tahun lalu.

    Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohamed Assem Mohamed Ahmed, 21, dan Alaaedin Ahmed Abdel Wahab Ibrahim, 25, pada akhir pendakwaan.

    Dalam penghakimannya Vazeer berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh memiliki secara eksklusif dadah berkenaan serta tidak dapat membuktikan mereka mempunyai pengetahuan mengenai pemilikan semua dadah itu.

    Mengikut pertuduhan, Mohamed Assem dan Alaaedin Ahmed didakwa bagi mencapai niat bersama mengedar dadah berbahaya iaitu kanabis seberat 386.7 gram di sebuah pangsapuri di Bukit Beruang Permai jam 10.40 malam pada 15 Jun 2016.

    Justeru, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori.

    Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Effizah Ernie Idris manakala tertuduh diwakili peguam Amirul Ridzuan Hanif.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 2 Penuntut Terlepas Tali Gantung "