• 2 Kilang Nissan Diserbu Sebab Ada Juruteknik Haram

    Published: Thursday, 5 October 2017
    A- A+

    TOKYO – Para pegawai agensi kawal selia pengangkutan Jepun berjaya menyerbu dua buah kilang milik syarikat pengeluar kenderaan komersial antara terkemuka negara tersebut, Nissan.

    Kes berprofil tinggi itu menjadi tumpuan ekoran pendedahan kes bahagian pemeriksaan keretanya pada tahap akhir hanya dilakukan oleh pasukan juruteknik yang dikenal pasti tidak bertauliah di beberapa kilang pemasangan.

    Skandal yang amat memalukan gergasi automotif itu menyebabkan Nissan awal minggu ini, mengeluarkan arahan agar lebih sejuta unit keretanya yang dijual di seluruh dunia dihantar semula ke bengkel servis untuk diperiksa.

    Jumlah berkenaan termasuk kesemua 386,000 buah kereta Nissan yang sempat dijual di Jepun sepanjang tahun lalu. Proses pemeriksaan semula itu dijangka melibatkan kos cecah lebih 22.5 bilion yen (kira-kira RM846 juta).

    Situasi luar jangka itu menyebabkan harga saham Nissan menjunam ke paras terendah dalam masa lima bulan. Nissan merupakan pengeluar kereta kedua terbesar di Jepun selepas Toyota dan keenam terbesar di dunia.

    Diasaskan pada 1933 bermula dengan jenama Datsun, Nissan ketika ini mengeluarkan lebih 5.5 juta unit kenderaan pelbagai model di 22 buah negara termasuk 15 kilang cawangan di seluruh Jepun. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " 2 Kilang Nissan Diserbu Sebab Ada Juruteknik Haram "