• 2 Ahli DAP Gagal Patuhi Etika Berpakaian

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+


    MIRI: Dua individu daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) Miri enggan meninggalkan mesyuarat setelah diminta berbuat demikian kerana melanggar etika berpakaian yang ditetapkan.

    Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Adam Yii berkata hal tersebut menyebabkan beliau terpaksa menangguhkan Mesyuarat Penuh Ahli Majlis MBM.

    Menurutnya, sebelum mesyuarat bermula, beliau meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Dr Ting Tiong Choon dan Ketua Pemuda DAP Miri Peter Hii meninggalkan mesyuarat kerana kegagalan mereka mematuhi kod atau etika pakaian ketika mesyuarat penuh.

    “MBM telah meluluskan dasar perlunya menggunakan etika pakaian sesuai dalam mana-mana mesyuarat rasmi majlis, pada mesyuarat penuh terakhir pada September lalu.

    “Mengikut etika pakaian yang diluluskan itu, semua ahli majlis diwajibkan memakai pakaian seragam korporat atau seragam MBM kemas ketika menghadiri mesyuarat,” katanya di sini semalam.

    Memetik laporan Utusan Borneo, menurut Adam, kemeja-T dan seluar jeans, pakaian yang membawa logo parti politik adalah tidak dibenarkan semasa mesyuarat.

    “Bagaimanapun, amat dikesali kerana mereka berdua (Dr Ting dan Hii) gagal mematuhi etika berpakaian seperti digariskan pada mesyuarat.

    “Dalam usaha menghormati proses mesyuarat, dasar ini turut dikenakan kepada orang ramai yang ingin menghadiri mesyuarat penuh majlis sebagai pemerhati termasuk ahli parti politik dan media yang membuat liputan,” jelasnya.

    Tambahnya, walaupun Dr Ting menghadiri mesyuarat itu dengan berpakaian kemas tetapi baju dipakai beliau terdapat logo DAP sementara Hii pula memakai kemeja-T DAP berwarna merah.

    Setelah arahannya tidak diendahkan oleh Dr Ting dan Hii, Adam terpaksa memanggil pegawai penguat kuasa MBM untuk membawa mereka keluar, kemudian membuat keputusan muktamad menangguhkan mesyuarat itu sehingga notis lanjut dikeluarkan. – Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " 2 Ahli DAP Gagal Patuhi Etika Berpakaian "