• 1MDB bidas tuduhan Tony, gesa henti sebar fitnah

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+
    1Malaysia Development Bhd. (1MDB) meminta Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua berhenti menyebarkan berita yang mengelirukan mengenai syarikat tersebut.

    Dalam kenyataannya, 1MDB membidas tuduhan Tony yang mengatakan syarikat kontroversi itu adalah sebuah ‘bekas kosong’ yang mempunyai hutang sebanyak RM40 bilion.

    Jelasnya, tuduhan Tony itu bercanggah dengan cadangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang mana beliau merupakan salah seorang ahlinya yang mahukan majoriti aset 1MDB dipindahkan ke Kementerian Kewangan Inc.

    Menurut 1MDB, ia akan mendapat pembayaran bagi Tun Razak Exchange, Bandar Malaysia dan tanah Pulau Indah dan projek tanah Air Itam tidak lama lagi.

    “Pembayaran tersebut bersama dengan hasil daripada pencairan aset akan digunakan untuk memenuhi komitmen baki prinsipal dan faedah 1MDB yang merangkum bon jangka panjang dan hutang sukuk berjumlah hampir RM32.5 bilion pada kadar tukaran semasa dan bukan RM40 bilion yang dipetik secara salah oleh Tony,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menjawab soalan Tony mengenai bagaimana 1MDB berada di landasan untuk mendapatkan keuntungan, firma pelaburan negara itu meminta ahli parlimen tersebut merujuk laporan PAC.

    “Maklumat pada muka surat 80 yang dibentangkan PAC (yang mana Tony Pua adalah salah seorang ahlinya) menyediakan butiran jangkaan aliran tunai berkenaan program rasionalisasi 1MDB yang menunjukkan lebihan hampir RM3 bilion mampu dijana dalam tempoh berkenaan.

    Mengenai tuduhan Tony yang mengatakan 1MDB tidak mampu menyelesaikan isu perjanjian pembelian tenaga (PPA) berdasarkan tiada pengurangan dalam tarif elektrik, 1MDB berkata, ahli parlimen itu keliru di antara tarif PPA dengan tarif elektrik.

    “Tony Pua keliru di antara tarif PPA (yang mana 1MDB telah bantu untuk mengurangkannya) dengan tarif elektrik.

    “Tarif PPA merupakan salah satu komponen di dalam menentukan tarif elektrik yang turut disumbang oleh kos bahan api, transmisi dan kos pengedaran,” katanya. - BNBBC News

    Subjects:

  • No Comment to " 1MDB bidas tuduhan Tony, gesa henti sebar fitnah "