• 1MDB: Azmin gagal dapat kebenaran semakan kehakiman

    Published: Tuesday, 3 October 2017
    A- A+
    Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mendesak bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya menahan dan mengekstradisi ahli perniagaan, Jho Low.

    Pemohonan Azmin itu mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

    Peguam Tan Sri Gopal Sri Ram mewakili Azmin selaku pihak pemohon memberitahu pemberita, Hakim Datuk Hanipah Farikullah menolak permohonan pihaknya tanpa sebarang perintah mengenai kos setelah berpendapat permohonan itu bukannya suatu yang remeh dan menyusahkan.

    Memetik laporan Utusan Malaysia, Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke bertindak bagi pihak Ketua Polis Negara yang dinamakan sebagai pihak responden.

    Pada 14 Ogos lalu, Azmin memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman bagi memohon perintah mandamus supaya mahkamah mengarahkan pihak responden mengambil tindakan terhadap Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho atas pertuduhan kes jenayah mengikut Seksyen 409 dan Seksyen 420 atau mana-mana berdasarkan undang-undang.

    Ahli Parlimen Gombak itu mendakwa Jho Low telah melakukan beberapa kesalahan membabitkan pecah amanah dan penipuan. - BNBBC News

    Subjects:

  • No Comment to " 1MDB: Azmin gagal dapat kebenaran semakan kehakiman "