• 16 Universiti China Tawar Pengajian Bahasa Melayu

    Published: Monday, 23 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Sehingga kini sebanyak 16 universiti di China menawarkan pengajian Bahasa Melayu kepada pelajar-pelajar mereka.

    Kementerian Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataan media berkata, seramai 600 pelajar negara itu sedang mengikuti pengajian Bahasa Melayu di universiti masing-masing.

    “Bagi membudayakan Bahasa Melayu, lebih menarik lagi, pelajar-pelajar Cina yang mengikuti pengajian Bahasa Melayu ini telah diberi nama Melayu oleh pensyarah-pensyarah mereka.

    “Antaranya adalah nama-nama Sultan dan Sultanah Melayu seperti Alauddin, Muzaffar, Mahmud, Zanariah dan Fauziah termasuk nama-nama lain seperti Hawa, Aziz, Sakinah, Fauzi dan sebagainya,” kata kenyataan itu hari ini.

    Sementara itu, Pengarah Pusat Pengajian Bahasa Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU), Prof. Wu Zong Yu dalam kenyataan sama menegaskan kepentingan pengajian Bahasa Melayu di negaranya.

    Kata beliau, penghayatan Bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat negara China dapat merapatkan hubungan negara Malaysia dan China.

    “Lebih 30 tahun lalu, hubungan antara Malaysia dan China tidak begitu baik. Oleh kerana itu, saya terus berusaha menggunakan Bahasa Melayu sebagai salah satu usaha untuk merapatkan semula hubungan kedua-dua negara agar lebih harmoni dan aman,” katanya.

    Zong Yu merupakan seorang pensyarah BFSU yang menerajui pengajian Bahasa Melayu sejak lebih 30 tahun lalu. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " 16 Universiti China Tawar Pengajian Bahasa Melayu "