• 12 Pelarian Rohingya Maut Bot Karam

    Published: Monday, 9 October 2017
    A- A+

    COX'S BAZAR, Bangladesh: Sekurang-kurangnya 12 orang pelarian Rohingya mati dan berpuluh lagi dikhuatiri hilang selepas bot yang mereka naiki karam dekat perairan Bangladesh.

    Menurut pegawai dan pengawal pantai, bot yang mereka naiki terlalu padat membawa kira-kira 100 orang ketika ia karam di Sungai Naf yang memisahkan Myanmar dan Bangladesh.

    "Bot yang membawa 100 penumpang itu karam dekat perairan Galachar. Kami menjumpai dua mayat. Dua lagi dapat diselamatkan," kata Ketua Pengawal Pantai, Komander Alauddin Nayan.

    Nayan berkata, 40 daripada penumpang terdiri daripada orang dewasa dan selebihnya adalah kanak-kanak.

    "Pengawal pantai sudah melancarkan operasi mencari dan menyelamat," katanya.

    Pegawai Pengawal Sempadan Bangladesh, Abdul Jalil berkata, mereka berjaya menyelamatkan 11 lagi pelarian yang terdiri daripada tiga wanita dan dua kanak-kanak ketika membuat rondaan di Sungai Naf.

    "Kami bertanya kepada beberapa mangsa yang selamat. Salah seorang daripada mereka memberitahu bot itu membawa 80 hingga 100 orang termasuk 30 hingga 35 orang lelaki," katanya. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " 12 Pelarian Rohingya Maut Bot Karam "