• 100 Talam Nasi Ambeng Dihasil Di Kampung Kolong Dua

    Published: Sunday, 8 October 2017
    A- A+
    gambar hiasan (kredit Johor Kaki)
    KUCHING, 8 Okt (Bernama) -- Kira-kira 100 talam nasi ambeng dihasilkan sempena Pesta Ambeng di Kampung Kolong Dua, Jalan Matang di sini.

    Masyarakat kampung 'merewang' sejak semalam sebelum proses memasak diteruskan selepas Subuh pagi tadi.

    Antara lauk yang turut disediakan ialah ayam masak ungkep, serunding kelapa, tempe goreng, mi goreng, sambal goreng Jawa dan ulam.

    Pesta julung kali itu dimeriahkan dengan kehadiran komuniti masyarakat Jawa seperti dari Kampung Haji Baki, Jalan Batu Kitang; Kampung Sri Arjuna, Jalan Puncak Borneo serta Kampung Sungai Menaul dan Kampung Munggu Limo, Serian.

    Menurut Pengerusi Pengelola Penganjuran Pesta, Ngadi Robin, penganjuran pesta tersebut bertujuan memartabatkan nasi ambeng sebagai makanan tradisi masyarakat Jawa selain mengembalikan nostalgia kampung berusia 110 tahun itu.

    "Kampung Kolong Dua wujud sejak 1907 yang merupakan penempatan pertama masyarakat Jawa di Kuching sebelum beberapa lagi buah kampung di buka," katanya.

    Selain nasi ambeng, turut disediakan jadah, wajik dan jenang selain pengunjung dihiburkan dengan tarian kuda kepang, pertunjukan silat Cimandi dan persembahan gamelan.

    Majlis perasmian pesta disempurnakan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

    Beliau yang juga Anggota Parlimen Petra Jaya memuji usaha yang dilaksanakan masyarakat kampung tersebut kerana pesta itu berjaya menarik bukan sahaja masyarakat Jawa malahan masyarakat lain yang ingin turut sama menikmati nasi ambeng. -- BERNAMA
  • No Comment to " 100 Talam Nasi Ambeng Dihasil Di Kampung Kolong Dua "