• Wolfowitz Berniat Jahat - Rahman Hassan

    Published: Saturday, 16 September 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Nada sumbang yang memburukkan undangan 'Rumah Putih' terhadap Datuk Seri Najib Razak, sehingga melabel ia pertemuan 'malang' didakwa mempunyai motif jahat.

    Presiden Kelab UMNO Artis Tanah Air (KUAT), Datuk A Rahman Hassan, berkata cemuhan sedemikian bukan hanya terkesan kepada Perdana Menteri, sebaliknya turut dirasai oleh rakyat Malaysia.

    Selain itu, katanya, pihak yang melontarkan tuduhan, kononnya Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak dimaklumkan mengenai latar belakang undangan itu adalah kenyataan dangkal dan tidak berasas.

    "Mana mungkin AS selaku negara kuasa besar tidak menyelidik latar belakang dan secara membuta tuli menjemput Perdana Menteri melakukan lawatan kerja rasmi ke republik itu.

    "Kalau ada dakwaan bahawa pertemuan itu tidak sepatutnya dijalankan kerana bakal memburukkan imej Rumah Putih kerana mengundang seorang pemimpin yang terpalit dengan jenayah, maka kemukakan bukti.

    "Kenyataan melulu seperti ini tidak sewajarnya berlaku kerana ia bukan sekadar menghina Perdana Menteri, tetapi turut mencemuh rakyat Malaysia," katanya kepada BH, hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan bekas Presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz, sebelum ini yang memberi gambaran pertemuan antara Najib dan Trump itu adalah 'malang', selain perlu dielakkan mengikut pandangan perhubungan awam.

    Rahman berkata, Najib adalah pemimpin kedua Asia Tenggara, selepas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang mendapat jemputan rasmi daripada Presiden Trump.

    Sehubungan itu, katanya, tindakan memperlekehkan undangan Trump terhadap Najib bercanggah dengan pendirian republik berkenaan yang berhasrat memperkukuhkan hubungan bilateral kedua-dua negara.

    "Ternyata pemilihan pemimpin yang bakal diundang ke Pejabat Oval tidak dikendalikan secara semberono, sebaliknya berdasarkan kredibiliti pemimpin dan peluang menjana keuntungan pelaburan jangka panjang kedua-dua pihak.

    "Oleh itu, jangan keluarkan kenyataan menuduh secara melulu dan tanpa bukti, sekali gus menghina Perdana Menteri serta menyakitkan hati rakyat Malaysia," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Wolfowitz Berniat Jahat - Rahman Hassan "