• Warga Maghribi Dikecualikan Visa Ke Qatar

    Published: Thursday, 7 September 2017
    A- A+

    RABAT: Qatar dilaporkan memberi pengecualian kepada warga Maghribi daripada memohon visa untuk mengunjungi negara itu.

    Menurut agensi media rasmi Maghribi, MAP, Perdana Menteri Qatar, Sheikh Abdullah bin Nasser Al-Thani mengumumkan keputusan itu selepas mengadakan pertemuan dengan delegasi Maghribi di Doha, semalam.

    Baru-baru ini, Qatar yang dikenakan sekatan udara dan darat oleh beberapa negara jirannya sejak Ogos lalu, memperkenalkan program kemasukan tanpa visa kepada rakyat dari 80 negara, dalam usaha merangsang sektor pengangkutan udara serta pelancongan.

    Setakat ini, hanya Maghribi dan Lubnan diberikan keistimewaan dalam dasar itu, walaupun secara teorinya beberapa negara anggota Majlis Kerjasama Teluk turut menikmati kemudahan berkenaan.

    Maghribi sebelum ini, menawarkan diri sebagai orang tengah untuk menamatkan krisis antara Qatar dan empat negara Teluk, iaitu Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Mesir dan Bahrain yang memutuskan hubungan dengan Qatar sejak Jun lalu.

    Keempat-empat negara itu menuduh Qatar menyokong kumpulan militan Daesh, namun dakwaan itu dinafikan oleh Doha.

    Dalam pada itu, kunjungan delegasi Maghribi di Qatar adalah bagi menghadiri majlis pembukaan sebuah pelabuhan baharu di Doha yang dibina dengan kos AS$7.4 bilion (RM31.3 bilion). - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Warga Maghribi Dikecualikan Visa Ke Qatar "