• Wanita Dibelasah Teruk Seorang Lelaki Kerana Menolak Lamarannya

    Published: Friday, 8 September 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR:  Hanya kerana menolak lamaran, wanita dibelasah teruk seorang lelaki yang mengamuk di Jalan Ampang di sini, kelmarin.

    Dalam kejadian jam 7 pagi, mangsa yang berusia 27 tahun dipukul lelaki itu sebelum dia diselamatkan individu yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

    Menurut sumber, seorang lelaki yang melalui kawasan itu menyaksikan mangsa ditendang, dipukul dan ditampar berulang kali lelaki itu di badan serta kepala.

    “Individu itu cuba membantu mangsa namun tindakannya itu menyebabkan lelaki terbabit marah dan cuba merampas telefon pintar milik saksi yang ketika itu merakam kejadian itu.

    “Malah mangsa dipukul dan diugut lelaki terbabit sebelum dia beredar dari tempat kejadian,” katanya.

    Sumber berkata, berdasarkan maklumat awal, kejadian berpunca rasa tidak puas hati lelaki itu selepas lamarannya ditolak mangsa.

    “Individu yang membantu menemani mangsa membuat laporan di balai polis berhampiran sebelum kes itu dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

    “Mangsa yang cedera ringan dibawa ke klinik berhampiran sebelum dihantar individu terbabit ke rumahnya,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman mengesahkan laporan berhubung kejadian itu.

    “Semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

    “Siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya. - suaraTV

    Subjects:

  • No Comment to " Wanita Dibelasah Teruk Seorang Lelaki Kerana Menolak Lamarannya "