• Wang Kertas Malaysia Palsu Berciri Kualiti Rendah - BNM

    Published: Tuesday, 5 September 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Wang kertas Malaysia yang palsu dikesan mempunyai kualiti rendah, kebanyakannya dicetak pada kertas biasa menggunakan pencetak dan mesin salinan warna yang lazim.

    Dalam kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini, ia dapat dibezakan dengan wang kertastulen melalui sentuhan dan penglihatan yang mudah dibuat.

    “Orang ramai boleh mengenal pasti wang kertas palsu ini.

    “Berbeza dengan laporan media, BNM dan polis tidak mengesan wang kertas palsu berkualiti tinggi, dicetak menggunakan kertas mempunyai ciri dan kualiti yang sama dengan kertas wang sebenar serta teknik cetakan wang kertas yang canggih,” menurut BNM.

    BNM juga mengulangi bahawa insiden wang kertas palsu masih rendah dengan kes-kes terpencil.

    “Sebarang dakwaan bahawa insiden wang palsu adalah perkara lazim akan menyebabkan​​​​​​​kebimbangan yang tidak wajar kepada orang awam dan BNM mengambil serius sebarang laporan mengenai wang kertas palsu.

    “Orang ramai diminta membuat laporan polis dengan segera jika mereka menerima sebarang wang​​​​​​​kertas yang disyaki palsu. Langkah ini akan memudahkan siasatan segera dilakukan ke atas perkara​​​​​​​tersebut,” menurut BNM.

    BNM berkata, bersama-sama industri perbankan, ia telah menetapkan langkah pengurangan yang mencukupi untuk memastikan wang kertas palsu tidak memasuki sistem kewangan, termasuk rangkaian Mesin Juruwang Automatik (ATM).

    Menurut bank pusat, Garis Panduan Pengendalian Wang Kertas Yang Disyaki Palsu telah dikeluarkan kepada industri perbankan.

    Garis panduan itu menetapkan langkah yang perlu dipatuhi bank komersial, pengendali tunai, juru wang dan syarikat keselamatan penghantaran dan kutipan tunai sumber luar, dalam mengendalikan wang​​​​​​​yang didepositkan oleh orang ramai di kaunter, atau pihak yang menemui wang palsu semasa proses tunai.

    Wang kertas Malaysia juga menggabungkan ciri-ciri keselamatan terkini yang sukar dipalsukan.

    BNM menasihatkan orang ramai, termasuk peruncit, supaya lebih berhati-hati semasa​​​​​​ ​menguruskan wang berpandukan “Sentuhan, Lihat, Condong dan Semak” (Feel, Look, Tilt and Check).

    “Kertas wang adalah bertekstur dan wang kertas polimer diperbuat daripada plastik khas. Kedua-dua wang kertas dan polimer mempunyai kesan cetakan timbul pada potret Yang di-Pertuan Agong pertama dan teks,” menurut BNM.

    Bank pusat juga menasihatkan orang awam perhatikan dan halakan wang kertas ke arah cahaya putih dan menyemak tera air potret tiga dimensi. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Wang Kertas Malaysia Palsu Berciri Kualiti Rendah - BNM "