• UNICEF Gesa Langkah Keselamatan Semua Sekolah Di Malaysia Dikuatkuasakan

    Published: Friday, 15 September 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR : Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) turut bersedih atas tragedi yang mengorbankan lebih 20 nyawa dalam kebakaran membabitkan pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat, awal pagi Khamis.

    Dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini, wakil UNICEF di Malaysia Marianne Clark-Hattingh, mengucapkan takziah kepada ibu bapa dan keluarga mangsa.

    Beliau menggesa prosedur keselamatan dan perlindungan diwujudkan dan dikuatkuasakan di semua sekolah di seluruh Malaysia bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

    “Amat menyedihkan, kejadian seperti itu mungkin dapat dielakkan. Ia menjadi peringatan kepada kita semua pentingnya memastikan keselamatan dan perlindungan kanak-kanak dalam semua persekitaran pembelajaran,” katanya.

    Siasatan terperinci perlu dilakukan secepat mungkin untuk mengenal pasti punca kejadian, tambah beliau.

    Menerusi kenyataan sama, pertubuhan dunia itu mahu pihak media beretika ketika membuat laporan mengenai tragedi berkenaan.

    Beliau berkata, media tidak sepatutnya menerbitkan mahupun berkongsi video dan gambar keadaan mangsa di media sosial sebagai menghormati hak serta perasaan keluarga.

    Semua 24 mayat ditemui di tingkat paling atas pusat tahfiz berkenaan dalam keadaan rentung dan bertindih antara sama lain.

    Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh, 14 pelajar dan empat guru berjaya menyelamatkan diri atau diselamatkan dengan enam daripada mangsa dilaporkan kritikal.

    Semua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

    Pusat tahfiz tiga tingkat itu mempunyai 36 pelajar lelaki berusia antara 13 dan 17 tahun.

    Semua mayat dihantar ke Institut Perubatan Forensik Negara untuk tujuan pengecaman oleh anggota keluarga dan bedah siasat. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " UNICEF Gesa Langkah Keselamatan Semua Sekolah Di Malaysia Dikuatkuasakan "