• Ungkapan Maaf Daripada Waris Suspek

    Published: Wednesday, 20 September 2017
    A- A+


    MINTA maaf. Itu yang diungkapkan waris empat remaja yang ditahan polis susulan kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Khamis lalu.

    Waris bagi dua beradik berusia 15 dan 16 tahun yang ditahan Jumaat lalu, meluahkan permohonan maaf kepada semua keluarga mangsa, pelajar dan tenaga pengajar terhadap kejadian yang menimpa.

    Lelaki yang juga sepupu kepada ibu suspek, berkata, dia tidak menyangka dua anak sepupunya itu boleh terbabit dalam kejadian yang meragut 23 nyawa itu.

    Katanya yang tinggal berdekatan dengan kediaman keluarga suspek, dua beradik itu memang nakal namun sifat itu mungkin disebabkan mahu perhatian kerana ibu dan bapanya sudah berpisah.

    "Bagaimanapun dua beradik itu tetap rajin membantu ibunya berniaga dipasar malam untuk menampung kehidupan mereka yang turut tinggal bersama dua adik perempuan mereka.

    "Keluarga kami tidak sangka kenakalan dua beradik itu sehingga ke tahap itu," katanya ketika ditemui di Kampung Datuk Keramat, semalam.

    Menurut lelaki berusia 55 tahun itu, ibu kepada dua suspek berkenaan kini masih tertekan susulan penahanan dua anaknya itu dan tidak mahu bertemu dengan sesiapa setakat ini.

    "Sejak dua beradik itu ditahan, ibunya hanya berkurung di rumah kerana tertekan dan tidak mampu untuk berdepan dengan jiran serta penduduk sekitar kawasan ini.

    "Jangan terlalu salahkan keluarga. Ibu mana yang mahukan anaknya berbuat jahat. Namun sekiranya siasatan mendapati mereka terbabit, kami bagi pihak keluarga reda sekiranya mereka dijatuhi hukuman.

    "Bagaimanapun, biarlah pihak polis menjalankan siasatan terlebih dahulu," katanya yang enggan namanya disiarkan.

    Sementara itu, datuk kepada suspek berusia 11 tahun,meminta maaf kepada keluarga dan waris mangsa yang terbabit dalam kebakaran itu.

    Dia yang berusia 55 tahun serta bapa angkat kepada suspek berusia 15 tahun berkata, dia memahami perasaan keluarga mangsa yang kehilangan orang tersayang namun hanya mampu mengungkapkan perkataan maaf.

    "Saya minta maaf kepada keluarga mangsa atas kekejaman dilakukan anak angkat saya yang saya jaga sejak usia dua hari dan juga cucu saya yang baru berusia 11 tahun.

    "Tiada ibu bapa atau ahli keluarga yang mahukan anak atau cucu berkelakuan sedemikian, saya juga sedih terbayang mayat mangsa yang ditemui dalam keadaan menyayat hati," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya yang bekerja sebagai penjaga tandas awam, cucu dan anak angkatnya adalah insan yang penyayang, namun cepat terpengaruh dengan rakan kerana lurus bendul.

    "Dua hari selepas kejadian, anak saya ada mengunjungi tempat saya bekerja di taman tasik ini dan meminta sebotol air kerana haus.

    "Tiada sebarang kelakuan pelik ditunjukkan, dia ceria seperti biasa namun mengajak saya pulang ke rumah kerana katanya polis memenuhi pekarangan rumah," katanya.

    Menurutnya, sebaik tiba di rumah, polis mengambil gambar anak angkat dan cucunya sebelum membawa mereka pergi dan dia mengetahui pembabitan jenayah yang dua remaja itu lakukan.

    - Harian Metro

    Subjects:

  • No Comment to " Ungkapan Maaf Daripada Waris Suspek "